Wednesday, November 3, 2010

IKTIBAR 10 - PANDIT DAN PANDAI SILAT

Pandit adalah satu perkataan yang di ambil dari bahasa sankrit yang bermaksud pandai atau sarjana. Namun perkataan pandai lebih terserlah dan selalu digunakan oleh masyarakat masakini.
Pandit bererti sesorang itu ialah pakar segala pakar atau orang yang boleh mengajar pakar-pakar lain.
Pandai pula boleh mengajar orang lain tetapi tidak boleh mengajar pakar atau pandit.
Dalam bidang perubatan tradisional, orang yang pakar digelar dinamakan pandit. Orang yang pandit ni akan merasa dan memakan ubatnya sendiri dulu sebelum disyorkan kepada pesakit. Sebagai contoh Almarhum YM Ustaz Hanafi adalah seorang yang pandit dalam ubat-ubatan. Lebih terserlah ialah beliau lebih pandit dalam persilatan.
Selain dari itu, orang yang pakar dalam bidang besi seperti membuat senjata dinamakan Pandai Besi.
Maka timbulah istilah Pandai Silat sempena perayaan 45 tahun Silat Cekak dilahirkan kembali. Kita beriltizam agar setiap ahli menjadi Pandai Silat.
Iaitu ahli yang :-
1. Cerdas mindanya,
2. Cekal pada rohaninya,
3. Cergas fizikal dan kesihatannya,
4. Cekap dalam ilmunya serta
5. Cepat iaitu amat mahir dari segi persilatan.
Untuk membantu mencapai matlamat ini iaitu Pandai Silat, pengerak dan pentadbir persatuan telah mengujudkan berbagai aktiviti diantaranya Kursus Penyelarasan Persilatan, Kursus Kemahiran dan yang terkini adalah latihan khas siap siaga Secekak dan Segerak.
Latihan sepadu dan intensif ini bertujuan agar semua ahli menjadi Pandai Silat bersesuaian dengan peringkat umur masing-masing. Ia juga dapat mewujudkan ahli-ahli yang seia sekata, satu pemikiran dan satu tujuan.
Istimewanya silat ini, bila menjadi pandit, ia boleh dipraktikkan tidak kira usia tua atau pun muda.
Marilah bersama-sama kita memperkukuhkan diri dan menjadi Pandai Silat.
Iktibar yang kita boleh dapati dari tajuk ini adalah :-
1. Ramai ahli yang hanya mampu belajar dan menamatkan pelajaran silat ini saja.
2. Terlalu ramai ahli yang tamat tapi tidak mahir dalam silat.
3. Tidak ramai yang mengamalkan senaman, petua dan buah-buah Silat Cekak.
4. Mengamalkan mandi silat berterusan adalah satu amalan yang baik.
5. Kita kena jadi Pandai Silat.
Sekian dahulu, diakhiri dengan ucapan salam perjuangan dan salam kasih mesra, jumpa lagi dalam keluaran Iktibar seterusnya.

Tuesday, June 15, 2010

IKTIBAR 9 - PERJUANGAN MEMERLUKAN PENGORBANAN

IKTIBAR 9
PERJUANGAN MEMERLUKAN PENGORBANAN
Assalamu alaikum.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Segala puji adalah bagi Allah semata mata.
Salam sejahtera bagi Nabi Muhammad s.a.w. hamba dan pesuruhnya.
Selamat berjumpa lagi didalam ruangan ini untuk kali yang kesembilan.
Perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. adalah menyampaikan dan menegakkan agama Islam. Baginda berjuang sepanjang hayatnya sebagai hamba dan pesuruh Allah. Perjuangan Rasulullah penuh dengan pelbagai contoh pengorbanan. Ramai yang turut berjuang bersama beliau sehingga gugur syahid dimedan perang.
Antara contoh pengorbanan yang terbaik ialah Khunsaa, seorang ibu yang amat istimewa. Beliau telah menghantar empat anak lelakinya pergi berperang bersama Rasulullah dalam perang Al-Qadisiyyah.
Bila diberitahu anak lelakinya yang pertama telah syahid, dia tidak bersedih dan menangis tetapi menghantar pula anak lelakinya yang kedua. Anak kedua ini pun gugur syahid. Tanpa menitiskan air mata beliau menghantar anak lelakinya yang ketiga. Syahid juga anak ketiganya dan beliau teruskan pejuangan dengan menghantar anak lelaki keempatnya. Turut gugur syahid anak ini. Maka syahidlah kesemua empat anak lelakinya yang telah dihantar berperang.
Kali ini beliau menangis teresak-esak apabila diberitahu anak ini turut juga syahid. Setelah ditanya, beliau menjawab dia menangis dan bersedih kerana tidak ada lagi anak lelaki yang boleh dihantar berperang lagi dan berjuang bersama Rasulullah.
Bagaimanakah seorang ibu dan juga seorang wanita yang begitu lemah boleh mempunyai kesanggupan dan kekuatan untuk berkorban sedemikian. Ini suatu pengorbanan yang amat luarbiasa serta diantara taraf dan tahap pengorbanan peringkat yang tertinggi.
Bahkan adik-adiknya yang lain sama sekali tidak gentar dan takut untuk berperang bersama Rasulullah walaupun abang-abangnya semua gugur satu persatu. Di sini terletak pengorbanan dan ketaatan kepada Allah, rasulNya dan ibunya sekali gus. Sungguh amat luar biasa sekali.
Banyak iktibar boleh diperolehi seperti berikut :
1. Pengorbanan seorang ibu demi agama walaupun sayang kepada anak-anaknya.
2. Kasih sayang ibu kepada anaknya walaupun sangat akrab dan kuat tetapi semangat Islam dan berjihad itu lebih kuat menyebabkan ibu itu merelakan anaknya terkorban.
3. Ibu yang sebenar adalah ibu yang menyelamatkan anaknya di dunia dan akhirat.
4. Sejatinya kasih seorang ibu tidak akan memanjakan atau memuakan anak kerana hakikat kasih sayang ialah kemana anak itu akan pergi selepas meninggal dunia.
5. Ibu yang bijaksana akan sanggup mengambil risiko dan melepaskan anaknya walaupun abang-abangnya dah meninggal dunia.
6. Tidak ada kejayaan tanpa pengorbanan dan semangat daya juang yang tulus ikhlas.
7. Tidak ada dukacita dan kebimbangan bagi orang yang berjuang di atas landasan tauhid.
Saya amat terharu dan menghargai pengorbanan semua yang setia dan sedia mengharungi apa jua cabaran yang mendatang dalam mempertahankan serta meneruskan perjuangan silat kita ini yang berasaskan tauhid ini tanpa menjadikanya hal peribadi.
Cukuplah contoh ibu diatas untuk kita menilai diri kita sendiri dalam perjuangan kehidupan kita dan perjuangan silat kita.
Sekian dahulu semoga berjumpa lagi dalam iktibar ke 10.
Selawat dan salam bagi junjungan kita Nabi Muhammad S,A.W
Dan segala pujian adalah tertentu untuk Allah Subhanallahu Taala.
Salam perjuangan dan salam kasih mesra.

Saturday, May 8, 2010

Iktibar 8 - Buah Kelapa dan Kepala Manusia

Pokok kelapa kebiasaanya terdapat di tepian pantai. Buahnya akan dibawa oleh ombak dan arus laut ke merata dunia. Maka banyaklah rimbunan pepohon-pepohon kelapa tumbuh disana-sini.
Setiap pokok kelapa ini akan menghasilkan beratus-ratus buah kelapa yang banyak kegunaanya. Daripada kulit, sabut, tempurung, isi dan ayer semuanya ada banyak manfaat untuk kegunaan manusia.
Mula-mula kulitnya disiat, nampaklah sabut kelapa. Sabut digunakan untuk buat tali dan sebagainya.
Setelah habis sabut disiat, maka terdedahlah tempurungnya. Tempurung ini amat keras, antara lainnya digunakan untuk bahan bakar, menceduk air atau sebagai kasut bertali seperti pada zaman dahulu sebelum ada selipar jepun.
Buang tempurung, dapatlah isi, dipecahkan isi dapatlah air. Air kelapa lazat diminum, tambah lazat dicampur ais. Ia boleh menyejukkan badan dan mengeluarkan serta mengubati pelbagai jenis penyakit.
Isi boleh dimakan serta diparut menjadi santan. Boleh juga dijadikan kelapa kering dan kerisek untuk dibuat rendang. Santanya pula bila di masak cukup-cukup jadilah minyak. Bila minyak ni dia licin dan pelbagai kegunaanya.
Proses kematangan akal manusia ini boleh diibaratkan sebagi proses hasil buah kelapa tadi. Mula-mula peringkat serabut, lepas tu peringkat tempurung, kemudian peringkat isi kemudian peringkat minyak.
Mula-mula kita belajar berfikir sampai celaru dan akal menjadi serabut sebab akal kita tidak sampai keperingkat itu. Iaitu diluar jangkauan pemikiran kita. Selepas tu bila dah pandai sedikit mula kita keras kepala saolah-olah kita yang lebih tahu dan semuanya kita saja yang tahu atau betul.
Setelah sedar dari peringkat tempurung atau keras kepala ini maka baharulah keluar isi akal. Bermakna buah fikiran tersebut boleh diterima pakai kerana kewarasanya. Itupun akal belum begitu masak hingga kesuatu masa. Proses ini mungkin mengambil masa 40 tahun selepas manusia dilahirkan.
Kemudian fikiran akan masak dan sampai peringkat minyak iaitu licin fikiranya atau bijaksana. Dari itu jagalah akal ini sampai fikiran jadi peringkat minyak.
"Dengar dulu jangan percaya. Lihat dahulu jangan percaya. Fikir masak-masak baru percaya". Inilah pesanan yang sering di sampaikan oleh Almarhum Ustaz Hanafi dalam ceramah atau perbualannya. Juga beliau berpesan "Keluarkanlah isi akal kamu bukan isi perut kamu (buta perut)".
Iktibar yang kita perolehi dari kisah ini adalah :-
1 Akal adalah kurniaan Allah yang tidak ternilai
2 Akal manusia memerlukan masa untuk matang
3 Akal manusia menyebabkan ia sebaik-baik kejadian
4 Jangan rosakan akal fikiran kita
5 Carilah ilmu cara berfikir, mengguna dan menjaga akal fikiran hingga waras
6 Silat kita berdasarkan akal fikiran yang waras
Sekian dahulu dari saya sebagai penyambung perjuangan dan minda atau pemikiran Hanafi. Mudah-mudahan bertemu lagi di edisi akan datang.
Selawat dan salam bagi junjungan kita Nabi Muhammad S,A.W
Dan segala pujian adalah tertentu untuk Allah Subhanallahu Taala

Thursday, April 22, 2010

IKTIBAR 7: PERBETULKAN NIAT- JANGAN TEBANG POKOK TU

Ada sebuah pokok. Bila orang lalu-lalang disana perlu meminta izin dahulu. Maka iblis pun mengambil kesempatan dengan perbuatan orang- orang tersebut. Jadilah adat, bila sesiapa hendak lalu dipokok tu kena minta izin dulu atau bagi salam, sehingga sekumpulan manusia menyembah pokok tersebut.
Seorang yang sentiasa beribadat (‘Abid) yang miskin, yang fahaman tauhidnya tinggi telah berniat dan berazam untuk menebang pokok tersebut sebab perbuatan tersebut telah menjadi syirik yang jelas.
Masa dia hendak pergi menebang pokok tersebut ialah telah dihalang oleh iblis tadi yang menyamar sebagai orang tua.
Iblis bertanya : “Apakah pentingnya sehingga tuan meninggalkan ibadat tuan untuk menebang pokok ini?”.
Jawab si ‘Abid : “Ia sebahgian daripada ibadatku”.

Iblis tidak membenarkan dia menebang pokok itu. Maka berlakulah pergelutan. Si ‘Abid tadi dengan mudah menewaskan iblis dan duduk diatas dada iblis. Iblis merayu minta dilepaskan berserta tipudaya. Berlaku pergelutan lagi, masih ‘Abid dapat menewaskan Iblis.

Tipudaya iblis berterusan. Iblis menawarkan dia duit dua dinar setiap malam diletakkan dikepalanya. “Duit itu boleh digunakan untuk belanja diri, keluarga, atau bersedekah, tidak menyakiti penyembah-penyembah pokok dan tak ada faedah keuntungan kepada orang-orang Islam jika pokok itu ditebang,” kata Iblis pada ‘Abid.
Iblis tersebut takut jika pokok itu ditebang. Pujuk rayu dan tipudaya Iblis yang bijak telah berjaya membisikkan dan memesongkan dia bahawa setiap kali dia akan dapat duit dua dinar dibawah kepalanya.
‘Abid percaya kata-kata orang tua itu dan membatalkan niat asalnya dan pulang kerumah setelah membuat perjanjian dengan orang tua iblis itu tadi. Esoknya dia dapati betul ada duit dikepalanya begitu juga pada hari kedua berikutnya. Tapi pada hari ketiga duit tidak ada!.
‘Abid marah, bingkas berang dan terus pergi menebang pokok itu. Dia bergelut lagi dengan iblis tersebut tapi kalah. Iblis tadi tidak takut langsung dan tidak halang perbuatan Abid tersebut. Iblis pun berkata:” Kali pertama aku kalah sebab engkau marah kerana Allah. Tapi kali ni aku tidak takut dan menang sebab kau marah pasal duit dua dinar”.
Cerita masyur sejak zaman dahulu ini selalu di sampaikan oleh alim ulama, adalah contoh yang baik untuk pergerakkan kita. Ia diolah dari kitab Min Sifat al-Sabbagh oleh Ustaz Muhammad al-Sabbagh, halaman 45, yang juga dipetiknya daripada “Ihya”.

Iktibar yang kita perolehi dari latihan bersama ini adalah :-
1 Sesekali jangan syirik.
2 Syirik boleh berlaku walaupun kepada abid.
3 Betulkan niat, tujuan mesti ikhlas kerana Allah taala suci dari ‘kongsi’ atau menduakan Allah.
4 Ikhlas adalah syarat kepada kemenangan.
5 Perjuangan silat kita berasaskan tauhid serta menentang ilmu tahyul dan khurafat.
6 Kekuatan tauhid boleh mengatasi iblis dan syaitan.
7 Tipu daya syaitan memang hebat tapi akan kalah jika ada ikhlas.
8 Iblis, mahluk yang bijak dari manusia sentiasa berusaha sesatkan manusia dan musuh yang nyata.
9 Musyrikun akan akhirnya tewas.
10 Jangan bergantung rezeki pada cara yang bukan Hak.
11 Jangan korbankan keikhlasan dgn benda2 lain, duit sebagai contoh.
12 Selalu perbetulkan niat kita dalam pergerakkan dan jangan buat pasal orang.
Pesan Al Marhum Ustaz Hanafi dalam ceramah setelah kembali dari menunaikan fardhu haji pada 1984, beliau berkata : “Sikit amalan pun tak apa tapi jangan syirik”. Silat yang kita pelajari ni adalah berdasarkan tauhid dan keikhlasan serta bebas dari ilmu tahyul dan khurafat serta perkara-perkara syirik. Masih terngiang-giang dipendengaran saya cara dan suara almarhum berceramah. Pernah dia berpesan “Jangan buat silat pasal saya.”
Semangat tauhid yang tulin dikuti dengan mengamalkan (praktik) apa yang dicakapnya membuatkan almarhum berada dalam tarafnya yang tersendiri.
Kita pula mewarisi dan meneruskan perjuangan tersebut dengan penuh ikhlas, amanah lagi bertanggungjawab.
Apa saja amalan yang dibuat tak kira sikit atau banyak tak patutlah ada syirik didalamnya. Begitu juga silat dan pergerakkan kita ini.
Maka disinilah asas wadah kepada perjuangan kita seperti menetang ilmu tahyul dan khurafat dan memartabatkan silat Melayu
Orang Melayu sedang diasak dengan berbagai asakan dari semua arah. Dari itu silat ini berusaha mengembalikan ketulinan orang Melayu. Sebagai contoh, silat kita ini adalah silat Melayu yang asli dan tidak bercampur hak luar negeri. Orang muda Melayu kini makin terhakis tauhid dan budayanya.
Perkara ini berlaku kerana lemahnya benteng kebudyaan Melayu itu sendiri berasakan tauhid.
Kita mungkin tidak berkemampuan untuk menghadapi cabaran ini. Tapi kita mesti terus berusaha mempertahankan perjuangan ini.
Sekian dan semoga bertemu lagi di edisi iktibar akan datang.
Selawat dan salam bagi junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W.
Dan segala pujian adalah tertentu untuk Allah Subhanallahu Taala

Wednesday, March 31, 2010

SEMUT YANG MENGHASILKAN MADU

Lebah, diantara mahluk Allah yang istimewa. Banyak manfaatnya kepada manusia. Lebah terkenal dengan madu. Madu ni kegunaanya sangat luas, hasil daripada saripati berbagai bunga, boleh menjadi ubat dan sebab penyembuh pelbagai penyakit diantaranya limpa, edaran darah, buah pinggang, kecerdasan otak, mata dan anggota badan. Perkataan madu asal dari bahasa Sanskrit - madhu.
Lebah secara tabii membahagi-bahagikan kerja sesama mereka secara tersusun lagi sistematik. Ada yang kerjanya membuat madu, membuat lilin, mengambil air dan membina sarang dalam bentuk enam persegi bersaiz sama tanpa ukuran pelan, terkumpul menjadi satu. Lebah pembersih sifatnya, menjauhkan diri dari kotoran dan najis dan taat kepada ketua mereka. Juga dijadikan sebagai agen pendebungaan dan pengawalan lain-lain serangga. Lebah mempunyai sengat yang berbisa bila diserang bagi mempertahankan diri mereka.
Semut pula terkenal dengan kerajinan dan pandai menjaga silatulrahim. Bila semut bertemu dengan semut yang lain, mereka akan berhenti sementara seolah-olah semacam berjabat tangan dan memberi salam seperti manusia.
Berbentuk amat kecil tetapi mampu mengangkat beban lebih dari 20 kali ganda lebih besar dari saiz tubuhnya serta berpinggang ramping. Semut terkenal dengan kerja berkumpulan, amat rajin dan tidak pernah malas dibawah sistem kehidupan dan kepimpinan masyarakatnya. Kelemahan semut pula adalah gula. Bagaimana rajin sekalipun semut tidak boleh menghasilkan madu.
Kedua- dua perihal semut dan lebah ini, ada disebutkan didalam Al Quran.
Dalam masyarakat Melayu, kanak-kanak asyik bermain Enjit-enjit semut. Lagunya berbunyi, enjit-enjit semut, siapa sakit naik atas, dan seterusnya. Dari segi moralnya, siapa yang sakit, dia naik keatas, tidak turun ke bawah mahupun mengelak kekiri atau kekanan.
Peranan yang boleh dimainkan oleh semua peringkat ahli pergerakan kita boleh dikiaskan kepada lebah dan semut. Ada yang seperti semut, ada yang seperti lebah. Persoalan timbul, boleh ke semut menghasilkan madu?
Oleh kerana kita ini manusia, sebaik-baik ciptaan yang maha esa maka bolehlah dikiaskan kita ini sebagai semut yang menghasilkan madu. Agak pelik pada fikiran tetapi tidak mustahil dari hukum akal. Marilah bersama kita fikir-fikirkan
Iktibar yang kita perolehi ini adalah :-
1 Manusia ciptaan terbaik Allah kerana akal dan fikiranya
2 Kita perlu berkerjasama, bermufakat dengan matlamat yang jelas
3 Kita semua perlu kepada satu pemikiran dan satu tujuan
4 Kita perlu rajin dan berterusan dalam perjuangan pergerakan kita
Sekian dan semoga bertemu lagi di edisi akan datang.
Selawat dan salam bagi junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W .
Dan segala pujian adalah tertentu untuk Allah Subhanallahu Taala

Friday, March 5, 2010

PANDAI SILAT DAN MARUAH

IKTIBAR 5

PANDAI SILAT DAN MARUAH

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.

Segala puji hanyalah bagi Allah semata mata.

Salam sejahtera bagi Nabi Muhammad S.A.W.hamba dan pesuruhnya

Seorang vice chancellor sebuah kolej swasta telah ditumbuk oleh seorang bekas pelajar semasa majlis konvokesyen pada Januari 2009. Berdarah dan ‘patah’ hidungnya. Tak sempat dia menepis kerana dia tidak pandai silat. Mungkin dia pernah belajar silat tapi berhenti berlatih atau dia tidak pernah belajar seni mempertahankan diri. Jadi boleh ditakrifkan dia sebagai tidak Pandai Silat.

Bukan perkara hidung ‘patah’ dan berdarah itu persoalan yang pokok. Perkara pokoknya adalah maruah. Dimanakah dia nak letak maruahnya? Iaitu, maruah dirinya sebagai seorang individu pendidik yang telah tercalar. Tidak tertebus maruahnya dan turut terlibat maruah kolej tersebut kesemuanya terjejas.

Begitulah juga diri kita, perlu (wajib) sentiasa bersedia menjaga diri dan maruah kita di semua tempat khususnya di rumah dan pejabat atau tempat bekerja.

Saban hari di media terpapar pelbagai peristiwa-peristiwa berkaitan mangsa pembunuhan, rompakan dan lain-lain. Baru-baru ini berita tersiar berita seorang anak memenggal kepala ayahnya sendiri. Juga cucu yang membunuh nenek dan datuk termasuk kakak dan adiknya.. Sungguh dasyat zaman sekarang ini.

Alhamdulillah, pada Jumaat 29 Januari 2010 yang lepas, saya berserta dengan sebahagian besar tenaga pengajar di lembah kelang dan ahli tamat telah bersama-sama menjalankan program Pandai Silat yang pertama.

Begitu juga saya amat menghargai kehadiran ahli dan tenaga pengajar dari luar lembah kelang seperti dari Johor antaranya.Atas permintaan ramai ia minta diadakan sebulan sekali. InsyaAllah kita akan berlatih bersama sebulan sekali. Tahniah kepada penganjur dan semua yang terlibat.

Latihan sebegini, hikmahnya adalah dari segi silaturrahim dapat mengeratkan lagi perhubungan diantara kita. Seterusnya akan menguatkan lagi pergerakan dan perjuangan kita.

Ada yang saya lihat begitu bersemangat turun setelah sekian lama tidak berlatih atau aktif. Bila berlatih bersama ini ibarat lidi-lidi yang apabila diikat kemas dan disatukan mempunyai kekuatan dan kegunaan yang lebih dari biasa.

Latihan yang dibuat hari iu dapat memastikan dibahagian mana diri kita yang sakit, Ia perlu di buat dengan mudah, dengan kadar selesa, yang tidak menyakitkan, tidak memaksa dan tidak akan mengakibatkan pengsan, tidak kira peringkat umur.

Ia memudahkan kita mengingatkan dan memahirkan semua matapelajaran silat kita. Dek kerana masa tak cukup, kita hanya sempat menghabiskan 3 mukasurat dari 21 nota mukasurat yang telah saya sediakan.

Mengimbau kembali semasa dengan al marhum Ustaz Hanafi dahulu, pernah kami sama-sama tidur lambat, bila saya bangun al marhum dah pun buat senaman, disebelah saya.

Pada zaman sekarang, cabaran generasi muda bukan kepalang. Mereka sentiasa dalam dilemma, tiada arah tujuan, melepak, pergaulan bebas, keseronokan, berkonsert, keliru dan buang masa. Apa nasib bangsa kita ini? Dimana nak diletakkan maruah bangsa kita?

Kitalah kena berusaha mengubahnya dan membawa mereka kepangkal jalan. Melalui pergerakkan silat, kita boleh lakukanya bagi menjaga maruah diri, bangsa dan tentunya agama

Mestilah kita tanam azam dan buat setiap hari latihan silat dan senaman sampai semulajadi serta menjadi tabiat harian. Melalui silat kita meningkatkan disiplin diri kita. Walaupun latihan sedkit tetapi hendaklah berterusan. Amat rugilah mereka yang berilmu tapi tidak beramal bermaksud segala ilmu tiada bermanfaat.

Iktibar yang kita perolehi dari latihan bersama ini adalah :-

  1. Semua ilmu yang bermanfaat kerana ia datang dari Allah
  2. Ilmu pertahan diri ini adalah perlu (wajib) untuk menjaga jasad
  3. Menajamkan ilmu mesti ada latihan yang hasilnya membuahkan kemahiran
  4. Sediakan payung sebelum hujuan
  5. Silat Cekak Hanafi diperlukan dimana-mana
  6. Al Marhum Ustaz Hanafi adalah contoh yang terbaik kerana mempunyai tahap disiplin dan kemahiran yang amat tinggi hasil usaha dan latihan berterusan sejak dari muda lagi

Sekian dan semoga bertemu lagi di edisi akan datang.

Selawat dan salam bagi junjungan kita Nabi Muhammad S,A.W . Salam maulidul rasul

Dan segala pujian adalah tertentu untuk Allah Subhanallahu Taala

Wednesday, January 27, 2010

Iktibar 4 - Tsunami Cekak Hanafi

Tsunami Cekak Hanafi
Sekali air bah sekali pantai berubah. Tidak terkecuali pergerakan, perjuangan dan persatuan kita yang menghadapi pelbagai ujian.
Sekali air bah sekali pantai berubah. Yang pentingnya pantai itu masih pantai, tidak berubah tapi bentuk pantai itu yang berubah. Walaupun berubah tempat kedudukanya masih sama. Begitulah juga persatuan kita
Sekali air bah sekali pantai berubah. Seperti teladan dari peristiwa tsunami di Acheh. Peristiwa yang tidak dijangkakan itu telah berlaku pada 24 Disember 2004, kata orang tua-tua ombak tiga beradik. Namun Acheh masih ujud dan masih tetap bernama Acheh. Begitulah juga persatuan kita. Secara ringkasnya, bermula ketika zaman almarhum Ustaz Hanafi lagi. Pelbagai ombak telah melanda persatuan kita.
Sekali air bah sekali pantai berubah. Ombak yang pertama pada awal 70an ialah tentangan dari anak muridnya sendiri iaitu Azmi Long dan Redzuan Long yang kemudian bergabung dengan guru Ustaz Hanafi sendiri iaitu Pak Ya. Mereka berpakat menjatuhkan silat dan persatuan kita dengan menubuhkan Silat Kalimah. Mengikut adat pasti tewas murid jika bertanding dengan gurunya. Dalam peristiwa ombak ini, guru Ustaz Hanafi (Pak Ya) telah berpakat dengan anak murid Ustaz Hanafi (Redzuan dan Azmi Long) sendiri tapi mereka yang tewas dengan kehendak Allah.
Sekali air bah sekali pantai berubah. Ombak kedua berlaku sekitar 1993, iaitu tujuh tahun setelah Ustaz Hanafi kembali ke Rahmatullah, penggantinya Tn Hj Ishak Itam pula telah menyebabkan persatuan dan pergerakkan berpecah dua. Hampir silat kita habis kerana ia adalah berkaitan dengan akidah yang bukan ajaran Ustaz Hanafi. Hikmahnya dan yang menjadi penyelamat adalah apabila kita menubuhkan persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia. Sekarang guru utama persatuan mereka itu bukanlah orang Melayu
Sekali air bah sekali pantai berubah. Ombak ketiga pula berlaku sekitar 2006 bila mantan guru utama Tuan Guru Hj Md Radzi Hj Hanafi iaitu anak kepada Al marhum Ustaz Hanafi, sayang, telah terjebak dalam satu kes yang sekarang ini sedang dibicarakan di mahkamah.
Sekali air bah sekali pantai berubah. Acheh tidak menyerah kalah dan menyalahkan takdir illahi. Melihat Acheh sekarang, ia telah membangun dengan begitu teratur sekali dengan bangunan dan infrastuktur seperti jalanraya yang lebih baik lagi daripada sebelumnya. Begitulah juga persatuan kita
Sekali air bah sekali pantai berubah. Pembinaan semula Acheh itu memanglah terpaksa mengharungi pelbagai kesukaran yang melampaui jangkauan akal dan kudrat manusia iaitu penduduk Acheh. Bukan saja mereka bangkit tapi mereka bangkit dengan pendekatan yang lebih pandai. Begitulah juga persatuan kita
Sekali air bah sekali pantai berubah. Begitu juga, persatuan kita telah menperkenalkan Pandai Silat pada hari tenaga pengajar 16 Januari 2010 yang lepas. Pandai silat dengan Silat Cekak Hanafi. Kita kena kembali dan menyambung perjuangan asal yang diasaskan oleh Almarhum Ustaz Hanafi.. Antara pesannya ‘Kita bersilat kerana Allah’. Dengan satu pemikiran dan satu tujuan ayuh! kita teruskan perjuangan asal ini melalui Cekak Hanafi, satu-satunya silat Melayu yang benar-benar asli, membasmi ilmu tahyul dan khurafat. Menjadi benteng pertahanan pelbagai asakkan kebudayaan Melayu berasaskan kepada pengesaan kepada Allah taala dan kasih kepada Nabi Muhammad saw.
Sekali air bah sekali pantai berubah. Begitulah juga persatuan kita Ahli lama yang belajar di zaman Almarhum, ahli-ahli difasa peralihan dan juga jentera muda yang belajar dizaman saya perlu kembali kepada perjuangan asal dan asas tersebut. Kita kena bersikap 'muafah' iaitu bertolak ansur yang dapat mengelakkan perbezaan dan kekeliruan juga dapat mengimbangkan pedekatan dan pelaksanaaan.
Sekali air bah sekali pantai berubah. Acheh berubah kitapun berubah. Melalui pendekatan Pandai Silat, satu pemikiran dan satu tujuan. Saya menyeru bangkitlah dari kelesuan akal dan lemah jiwa ,selalu mahirkan diri dengan latih tubi, hadir kursus agak tidak ketingalan ilmu, semoga terus kekal dan setia dalam menjalankan amanah persilatan dan amanah perjuangan asal.
Sekali air bah sekali pantai berubah. Begitulah juga persatuan kita. Jadilah kita sebagai pendukung dan bukan hanya sebagai penyokong.
Iktibar yang kita boleh dapati dari peristiwa tsunami Cekak Hanafi ini adalah
1.Bersangka baik dengan Allah
2.Kita setiasa diuji berulangkali
3.Kita mesti tempuh dan melepasi pelbagai ujian tersebut dengan hikmah
4.Allah berserta dengan orang-orang yang benar
5.Allah berserta dengan orang-orang sabar
6.Yakin bahawa setiap kesukaran itu akan diiringi dengan kemudahan
7.Tidak ada masa untuk merajuk, lemah fikiran, lemah semangat dan berputus asa
Sekian dahulu, semoga berjumpa lagi diruang Iktibar seterusnya.
Selawat dan salam bagi junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W.
segala pujian adalah tertentu untuk Allah Subhanallahu Taala
Wasalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Thursday, January 7, 2010

IKTIBAR 3 - GULAT

IKTIBAR 3 - GULAT

Assalam mu alaikum.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.

Segala puji adalah bagi Allah semata mata.

Salam sejahtera bagi Nabi Muhammad S.A..W.hamba dan pesuruh Nya.



Selamat berjumpa lagi didalam ruangan ini untuk kali yang ketiga


Alhamdulillah , dengan izinNya kita masih dapat menhirup udara dalam tahun baharu hijrah yang telah memasuki tahun 1431. Sebagaimana yang telah diketahui bahawa hijrah Rasullullah dari Mekah Ke Madinah merupakan detik bermulanya perkembangan pesat Islam dan mulanya pembentukan Daulah Islamiah. d Madinah , Rasulullah telah dapat mengembangkan Islam dengan lebih mudah berbanding tentangan yang amat hebat yang diterimanya semasa di Mekah.

Semasa di Mekah pelbagai cara telah dijalankan oleh Rasulullah untuk mengembangkan Islam meliputi segala lapisan masyarakat.

Diriwayatkan di Mekah terdapat seorang Ahli Gulat (gusti Arab atau senibela Arab) yang sangat terkenal dikalangan masyarakat dimasa itu yang masyhur kerana sangat kuat dan handal. Namanya Rukanah. Jarang ada orang yang berani menghalang atau menghadapi kekuatannya. Dia juga sangat berbangga dengan kekuatannya dan berani untuk mencari lawan.

Terdapat seorang lagi orang handal dan jagoan yang bernama Abu Aswad Al Jumahy. Ia masyhur saperti Rukanah serta mempunyai keistimewaan sendiri. Ia boleh berdiri diatas kulit binatang dengan teguh dan kukuh, dimana sepuluh orang menarik kulit binatang tersebut tidak dapat menjatuhkannya, sebaliknya kulit binatang itu yang pecah dan putus putus, sedangkan ia tetap tegak tidak berganjak.

Kemasyhuran orang handal ini diketahui juga oleh Rasulullah dan menjadi sasaran dakwah oleh Baginda. Jika meraka ini dapat di Islamkan sudah tentu besar pengaruhnya dikalangan masyarakat dan Baginda mencari peluang untuk menjalankan dakwah Baginda.

Tatkala sampai waktu yang sesuai Baginda bertemu dengan Rukanah yang sedang baerada di Syib, Mekah. Dalam pertemuan tersebut Baginda bertanya dan menyeru kepada Rukanah kenapa beliau masih belum bertakwa kepada Allah dan menerima agama yang disampaikan. Rukanah terus menjawab apakah tandanya yang dapat menjadi bukti atas kebenaran seruan Baginda. Nabi S.A.W terus bertanya bagaimana jika kalau Baginda dapat mengalahkan beliau dalam bergulat, adakah beliau akan beriman kepada Allah dan RasulNya. Rukanah pun menyatakan persetujuannya. Dia telah mengenakan bayaran 100 ekor kambing kepada sesiapa yang kalah.

Maka Nabi S.A.W dan Rukanah pun bersiap untuk bertempur didalam Gulat. Rukanah yang kelihatan tegap dan kuat berasa amat yakin dapat kemenangan kerana beliau memang selalu berlatih dan bergulat sedangkan Nabi S.A.W hanya berdakwah dan tidak diketahui tentang ilmu gulatnya. Baginya ajakan Nabi S.A.W sebagai suatu jenaka yang melucukan.

Tetapi tersangatlah terperanjat Rukanah kerana dalam sekelip mata ia telah dijatuhkan oleh Baginda Rasulullah.Ia begitu hairan dan tidak menjangka bahawa Nabi S.A.W dapat menewaskannya dengan mudah. Ia minta supaya pertempuran diulangi, Nabi S.A.W bersetuju, dan beliau tewas lagi. Minta diulang kali ketiga, beliau kalah lagi dan terus menyerah kalah dan menyatakan bahawa Nabi S.A.W sungguh ajaib. “Wahai Muhammad! Tiada siapun pernah dapat membaringkan aku (jtuh terlentang) dalam pertarungan selainmu!. Sebelum ini engkaulah yang paling aku benci. Tapi dsekarang aku naik saksi tiada Tuhan yang lebih benar dan berhak disembah melainkan Allah s.w.t. dan Nabi Muhammad s.a.w itu RasulNya. Nabi s.a.w. kemudianya mengembalikan semula kambing-kambing yang diserahkan sebagai pertaruhanya itu?

Rasulullah juga berjumpa dengan Abu Aswad untuk berdakwah dan beliau menyatakan kesedian untuk beradu kekuatan sekiranya itu dapat menyakinkan. Abu Aswad dengan penuh yakin akan menang dan memandang rendah terhadap Rasulullah, bersetuju untuk beradu kekuatan dengan Nabi S.A.W dan berjanji akan beriman sekiranya Nabi S..A.W dapat menjatuhkannya. Didalam pertembungan itu Nabi S.A.W telah berjaya menjatuhkan Abu Aswad yang sangat handal itu. Malang bagi Abu Aswad bukan sahaja beliau mengalami kekalahan yang memalukan ditangan Nabi S.A.W malah beliau dimalukan lagi kerana tidak menunai janji untuk beriman selepas beliau dikalahkan.

Itulah dua riwayat mengenai usaha dakwahnya Rasulullah untuk mengembangkan Syiar Islam.

Iktibar yang dapat kita menafaatkan dari riwayat diatas ialah;

1. Bahawa ilmu bela diri telah kedapatan dibumi arab dan Nabi S.A.W telah mengusai ilmu tersebut. Oleh itu kegiatan persilatan memang tidak asing dan selari dengan riwayat tersebut. Juga beliau adalah seorang manusia yang gagah perkasa

2. Bahawa ilmu bela diri dapat dijadikan alat bagi menjalankan kegiatan dakwah, ini terbukti dengan Nabi S.A.W.. telah melaksanakannya.

3. Bagi melakukan seruan yang baik; cara, masa dan tempat yang sesuai adalah perlu diambil kira.

4. Jika seseorang itu hendakan kebenaran, mereka akan mendapatinya, tetapi sekiranya mereka bukan mencari kebenaran, telah dibuktikan didepan mata pun mereka akan ingkar dan tidak menepati janji.

5. Janganlah kita riak dan memandang rendah kepada orang kerana kehandalan kita, kerana orang yang benar benar handal akan menyembunyikannya, ibarat harimau menyorokkan kuku.

Sekian. Semoga berjumpa lagi dilain keluaran.

Selawat dan salam bagi junjungan kita Nabi Muhammad S,A.W

Dan segala pujian adalah tertentu untuk Allah Subhanallahu Taala.