Friday, January 14, 2011

TEKS UCAPAN YM GURU UTAMA DI MAJLIS SAMBUTAN HARI TENAGA PENGAJAR PADA SABTU 8 JANUARI 2011 BERSAMAAN 3 SAFAR 1432 DI DEWAN MPAJ PANDAN INDAH

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh

Bismillahirahmanirrahim

Yang dihormati Pengerusi Majlis,

Presiden Dato’Md Nasir Md Arshad dan Barisan MMK,

Ahli-Ahli Majlis Mufakat Tertinggi,

Ahli-Ahli Lembaga Pelajaran Dan Tatatertib,

Ceo Akademi Cekak Hanafi, Tn Hj Amruddin Buang,

Pengerusi Majlis Sambutan Hari Tenaga Pengajar iaitu saudara Norhaiby Mohd Shariff serta ahli jawatankuasanya,

Kesemua tenaga pengajar Cekak Hanafi serta para hadirin yang dikasihi sekalian.

Alhamdulillah dengan izin, kehendak dan pertolonganya juga, dapat kita berjumpa pada hari yang mulia ini bagi meraikan kesemua tenaga pengajar Cekak Hanafi.

Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih yang tidak terhingga kepada kesemua barisan tenaga pengajar. Kesemuanya pada hemat saya telah memberikan pelbagai khidmat, pengorbanan serta sumbangan yang ikhlas, samada nyata ataupun yang tersembunyi.

Kita berbuat demikian KERANA

1. Bukan sahaja kerana kita yakin kepada penerusan perjuangan yang diasaskan oleh Pemimpin Agong kita iaitu ALMARHUM USTAZ HANAFI HJ AHMAD, tapi

2. kita seiringkan dengan istikamah yang berterusan walapun dalam pelbagai keadaan yang mencabar, sukar dan tidak menentu.

Tuan- tuan yang dikasehi.

Asas kukuh sesuatu perjuangan itu mestilah diatas kalimah tauhid dan keikhlasan dalam perjuangan. Saya ingin melihat kita semua makin bersatu, makin bersemangat!, makin maju bergerak kehadapan mengalahkan persaingan yang ada.

Dalam perjuangan secara khususnya bila kita pergi mengajar,

1. Pertama sekali, kita kena semak niat kita setiap kali pergi mengajar. Niat kita ini mestilah kerana Allah iaitu ikhlas. Jangan niat kerana saya atau kerana Guru.

2. Kemudian mintalah izin, pertolongan dan tunjuk ajar, minta dipermudahkan, disejahterakan serta diperlindungkan dari segala sesuatu oleh Allah yang Maha Esa.

3. Berselawatlah dan

4. Amalkan serba sedikit petua keluar rumah yang telah diberikan dan pergilah mengajar. InsyaAllah, pengajaran kita kepada penuntut dan penerimaan mereka akan menjadi lebih mudah dan tidak sukar.

Tuan-tuan yang banyak berkorban,

Mengajar ini adalah satu amanah. Umumnya saya rasakan semua tahu tentang tanggungjawab masing-masing dalam menjalankan amanah tersebut. Menjadi tenaga pengajar ini memerlukan sifat benar dan amanah yang sangat tinggi.

Selain dari melaksanakan amanah, tugasan berkenaan akan mengujudkan perasaan kasih sayang kita kepada penuntut. Bila kita sayang dan kasih kepada penuntut, penuntut pun akan kasih balik kepada kita, kasih kepada persatuan, kasih kepada pergerakkan dan kasih kepada perjuangan kita.

Jika ini dapat diwujudkan maka akan ada kesinambungan perjuangaan silat kita yang berasaskan kepada mengesa Allah yang memang telah sedia Esa. InsyaAllah, Allah akan bersama kita sehingga ke akhirnya.

Tuan-tuan yang amat dihargai

Amanah yang kita pegang baik dari segi niat, masa, kehadiran dan seterusnya ini akan disoal dan dikira oleh hadrat Illahi termasuk pelbagai bayaran

1. Yang tidak dikutip,

2. Dikutip tapi tidak diserahkan atau

3. Dikutip malangnya diguna oleh diri sendiri.

Ulama dan agama menyuruh kita tulis dan rekod supaya ianya tidak menyusahkan kita di akhirat kelak. Saya berkata demikian kerana kasih kepada tuan-tuan, kerana sayang kepada tuan-tuan dunia dan akhirat, kerana hidup di dunia ini bukan kehidupan yang kekal. Mari kita baca dari pelbagai rujukan agama berkaitan hutang dan sebagainya. Antara tanda kita kasih dan sayang kepada penuntut adalah memastikan mereka membayar yuran. Jika mereka tidak bayar yuran itu telah menjadikan ia sebagai hutang. Bab hutang ini sangat berat.

Tuan-tuan yang makin dikasihi,

Tentu kita ingin melihat pergerakkan kita pulih seperti sediakala. Malah bukan sahaja pulih mudah-mudahan lebih baik dari dahulu. Perkara ini pasti boleh dicapai, InsyaAllah.

Caranya adalah jangan ada ragu-ragu lagi tentang halatuju pergerakan kita. Keadaan sekarang lebih baik dari sebelumnya. Kes persatuan di mahkamah kesemuanya telah kita menang dengan izin dan pertolongan Allah.

Ada pihak lain yang mempersoalkan tentang isu mandat. Saya ingin jelaskan kepada tuan-tuan semua bahawa; saya tidak akan menerima untuk menjadi Guru Utama sekiranya saya tidak mempunyai mandat. Perkara ini telah melalui proses yang telah dimuafakatkan bersama dan telahpun diterangkan dengan jelas oleh LPT.

Saya yakin saya mempunyai mandat!. Sekali lagi saya tekankan, tuan-tuan tidak perlu ragu-ragu lagi. Ibarat pakar bedah jantung, sekiranya dia tidak berani membuat pembedahan, tidak mungkin dia boleh menjadi pakar bedah.

Tentulah dikalangan kita setelah melalui dua krisis ini, akibatnya, secara logik, mempunyai kebimbangan dan keraguan bahawa pepecahan akan berlaku lagi.Pecah lagi atau tidak, itu kita tidak tahu!, tapi yang tahu hanyalah Allah swt.

Kita sebagai makhlukNya tidak tahu apa yang ada dihadapan kita. Apa yang patut kita buat adalah mencegah ianya berlaku sekali lagi. Ini kita buat dengan mengikut jalan yang benar bersesuaian dengan ajaran agama kita. Saya kira, kita semua telah maklum dan pasti punca-punca perpecahan tersebut berlaku. Jadi jangan diulang punca-punca ini!. Sebagai Guru Utama, InsyaAllah, saya akan membuat sebaik mungkin. Allah berserta dengan mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. Marilah kita bersama melakukanNya.

Tuan- tuan yang amat dikasihi

Episod hitam ini dalam perjuangan kita tidak boleh diselesaikan dengan sekelip mata. Ia mengambil masa. Disini kita semua perlu ada sifat benar dan sabar yang tinggi. Yakinlah kepada Allah jangan yakin kepada manusia atau mahluk.

Tuan-tuan rakan seperjuangan,

Perbezaan pendekatan yang digunakan masa saya amat berbeza dengan zaman dua mantan guru-guru utama yang lepas. Saya bersama kesemua pendukung dan ahli-ahli lama meneruskan pendekatan yang digunakan oleh Almarhum Ustaz Hanafi. Jadi kami memanjangkan atau meneruskan budaya kerja, kefahaman dan pendidikan almarhum seolah-olah tuan-tuan semua berada pada masa itu.

SEBAB ITU BEZANYA KITA DENGAN SILAT CEKAK YANG LAIN ADALAH MENERUSKAN AMANAH PERJUANGAN ALMARHUM. KITA MEMPERTAHANKAN! MEMPERJUANGKAN! PENDEKATAN DAN KEFAHAMAN DAN DIDIKAN ALMARHUM.

Masa kami berjuang sudah sampai peringkat penghujungnya, mengikut usia kami masing-masing. Justeru apa yang ingin ditinggalkan kepada generasi akan datang adalah kefahaman, pendidikan serta perjuangan yang diwariskan oleh Almarhum.

Kesemua ahli yang ada pada zaman mantan-mantan guru seharusnya matang dalam menyesuaikan diri dengan pendekatan pada masa saya ini. Saya percaya dengan masa yang singkat, budaya ini dapat diterapkan semula dengan lebih mantap. Antaranya, jangan cakap bohong, menepati masa, cakap sekali, mengesakan Allah, tidak mengambil kesempatan dengan ahli dan seterusnya.

Janganlah kita sedikitpun memandang serong kepada semua yang ingin menerapkan perkara ini.

Maklumlah, persatuan kita ini namanya pun Cekak Hanafi. Jadi sewajarnyalah diteruskan cara pendekatan, pentadbiran dan pemahaman almarhum. Begitulah sepatutnya diteruskan pada generasi akan datang, jika tidak nama persatuan tersebut perlu diubah mengikut guru utama pada masa itu.

Tuan-tuan, yang setiakawan dalam perjuangan

Bila kita dahaga, kita memerlukan air. Kekadang kita terus dapat minum sehingga hilang dahaganya, kekadang ia tumpah. Jadi, usah dikesal dan dikenang air yang dah tumpah, cari air yang baharu yang lebih baik sebagai penghilangan dahaga. Begitulah ibarat pergerakkan kita, mari kita bina semula dengan asas yang lebih baik dan lebih kukuh. Kita lihat bagaimana Acheh telah membangun dengan lebih baik setelah mala petaka tsunami. Begitulah pergerakkan kita, InsyaAllah.

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, dan malam akan tetap bersilih ganti dengan siang mengikut ketetapanya.

Tuan-tuan yang dikasihi,

Pada tahun ini, kita telah bersama mendapat tauliah dan kad kuasa dalam rekabentuk yang baharu. Ini membuktikan kita berdaya bangkit!, berdaya maju! dan berdaya meneruskan perjuangan dan pergerakkan!.

Untuk lebih berdaya saing dan maju kehadapan, jentera pergerakkan telah lebih diperkemaskan lagi mengikut fasa-fasanya yang telah dirancang. Ayuh! mari kita maju terus kehadapan dan jangan asyik pandang yang dibelakang atau yang telah berlalu.

Tidak ada jalan yang lebih baik bagi memperkembangkan Cekak Hanafi selain dari meningkatkan mutu kita mengajar dan dari cakap atau kempen mulut ke mulut.

Sebagai penggulung bicara, saya dan bagi pihak persatuan, Akademi dan penganjur memohon maaf diatas segala kekurangan, kesalahan dan kelemahan dalam penganjuran majlis pada hari ini. Pada masa yang sama tahniah kepada semua yang terlibat dalam penganjuran majlis pada hari ini.

Marilah kita raikan bersama dengan selamat pulang dengan sejahtera bersama dengan semangat dan niat yang diperbaharui. Saya ulangi penghargaan saya yang tidak terhingga kepada tuan-tuan semua. Hanya Allah sahajalah yang boleh dan dapat membalas sumbangan, jasa dan pengorbanan tuan-tuan semua dengan lebih-lebih lagi.

Salam perjuangan dan salam kemenangan.

Sekian.

Wasalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh