Wednesday, March 31, 2010

SEMUT YANG MENGHASILKAN MADU

Lebah, diantara mahluk Allah yang istimewa. Banyak manfaatnya kepada manusia. Lebah terkenal dengan madu. Madu ni kegunaanya sangat luas, hasil daripada saripati berbagai bunga, boleh menjadi ubat dan sebab penyembuh pelbagai penyakit diantaranya limpa, edaran darah, buah pinggang, kecerdasan otak, mata dan anggota badan. Perkataan madu asal dari bahasa Sanskrit - madhu.
Lebah secara tabii membahagi-bahagikan kerja sesama mereka secara tersusun lagi sistematik. Ada yang kerjanya membuat madu, membuat lilin, mengambil air dan membina sarang dalam bentuk enam persegi bersaiz sama tanpa ukuran pelan, terkumpul menjadi satu. Lebah pembersih sifatnya, menjauhkan diri dari kotoran dan najis dan taat kepada ketua mereka. Juga dijadikan sebagai agen pendebungaan dan pengawalan lain-lain serangga. Lebah mempunyai sengat yang berbisa bila diserang bagi mempertahankan diri mereka.
Semut pula terkenal dengan kerajinan dan pandai menjaga silatulrahim. Bila semut bertemu dengan semut yang lain, mereka akan berhenti sementara seolah-olah semacam berjabat tangan dan memberi salam seperti manusia.
Berbentuk amat kecil tetapi mampu mengangkat beban lebih dari 20 kali ganda lebih besar dari saiz tubuhnya serta berpinggang ramping. Semut terkenal dengan kerja berkumpulan, amat rajin dan tidak pernah malas dibawah sistem kehidupan dan kepimpinan masyarakatnya. Kelemahan semut pula adalah gula. Bagaimana rajin sekalipun semut tidak boleh menghasilkan madu.
Kedua- dua perihal semut dan lebah ini, ada disebutkan didalam Al Quran.
Dalam masyarakat Melayu, kanak-kanak asyik bermain Enjit-enjit semut. Lagunya berbunyi, enjit-enjit semut, siapa sakit naik atas, dan seterusnya. Dari segi moralnya, siapa yang sakit, dia naik keatas, tidak turun ke bawah mahupun mengelak kekiri atau kekanan.
Peranan yang boleh dimainkan oleh semua peringkat ahli pergerakan kita boleh dikiaskan kepada lebah dan semut. Ada yang seperti semut, ada yang seperti lebah. Persoalan timbul, boleh ke semut menghasilkan madu?
Oleh kerana kita ini manusia, sebaik-baik ciptaan yang maha esa maka bolehlah dikiaskan kita ini sebagai semut yang menghasilkan madu. Agak pelik pada fikiran tetapi tidak mustahil dari hukum akal. Marilah bersama kita fikir-fikirkan
Iktibar yang kita perolehi ini adalah :-
1 Manusia ciptaan terbaik Allah kerana akal dan fikiranya
2 Kita perlu berkerjasama, bermufakat dengan matlamat yang jelas
3 Kita semua perlu kepada satu pemikiran dan satu tujuan
4 Kita perlu rajin dan berterusan dalam perjuangan pergerakan kita
Sekian dan semoga bertemu lagi di edisi akan datang.
Selawat dan salam bagi junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W .
Dan segala pujian adalah tertentu untuk Allah Subhanallahu Taala

Friday, March 5, 2010

PANDAI SILAT DAN MARUAH

IKTIBAR 5

PANDAI SILAT DAN MARUAH

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.

Segala puji hanyalah bagi Allah semata mata.

Salam sejahtera bagi Nabi Muhammad S.A.W.hamba dan pesuruhnya

Seorang vice chancellor sebuah kolej swasta telah ditumbuk oleh seorang bekas pelajar semasa majlis konvokesyen pada Januari 2009. Berdarah dan ‘patah’ hidungnya. Tak sempat dia menepis kerana dia tidak pandai silat. Mungkin dia pernah belajar silat tapi berhenti berlatih atau dia tidak pernah belajar seni mempertahankan diri. Jadi boleh ditakrifkan dia sebagai tidak Pandai Silat.

Bukan perkara hidung ‘patah’ dan berdarah itu persoalan yang pokok. Perkara pokoknya adalah maruah. Dimanakah dia nak letak maruahnya? Iaitu, maruah dirinya sebagai seorang individu pendidik yang telah tercalar. Tidak tertebus maruahnya dan turut terlibat maruah kolej tersebut kesemuanya terjejas.

Begitulah juga diri kita, perlu (wajib) sentiasa bersedia menjaga diri dan maruah kita di semua tempat khususnya di rumah dan pejabat atau tempat bekerja.

Saban hari di media terpapar pelbagai peristiwa-peristiwa berkaitan mangsa pembunuhan, rompakan dan lain-lain. Baru-baru ini berita tersiar berita seorang anak memenggal kepala ayahnya sendiri. Juga cucu yang membunuh nenek dan datuk termasuk kakak dan adiknya.. Sungguh dasyat zaman sekarang ini.

Alhamdulillah, pada Jumaat 29 Januari 2010 yang lepas, saya berserta dengan sebahagian besar tenaga pengajar di lembah kelang dan ahli tamat telah bersama-sama menjalankan program Pandai Silat yang pertama.

Begitu juga saya amat menghargai kehadiran ahli dan tenaga pengajar dari luar lembah kelang seperti dari Johor antaranya.Atas permintaan ramai ia minta diadakan sebulan sekali. InsyaAllah kita akan berlatih bersama sebulan sekali. Tahniah kepada penganjur dan semua yang terlibat.

Latihan sebegini, hikmahnya adalah dari segi silaturrahim dapat mengeratkan lagi perhubungan diantara kita. Seterusnya akan menguatkan lagi pergerakan dan perjuangan kita.

Ada yang saya lihat begitu bersemangat turun setelah sekian lama tidak berlatih atau aktif. Bila berlatih bersama ini ibarat lidi-lidi yang apabila diikat kemas dan disatukan mempunyai kekuatan dan kegunaan yang lebih dari biasa.

Latihan yang dibuat hari iu dapat memastikan dibahagian mana diri kita yang sakit, Ia perlu di buat dengan mudah, dengan kadar selesa, yang tidak menyakitkan, tidak memaksa dan tidak akan mengakibatkan pengsan, tidak kira peringkat umur.

Ia memudahkan kita mengingatkan dan memahirkan semua matapelajaran silat kita. Dek kerana masa tak cukup, kita hanya sempat menghabiskan 3 mukasurat dari 21 nota mukasurat yang telah saya sediakan.

Mengimbau kembali semasa dengan al marhum Ustaz Hanafi dahulu, pernah kami sama-sama tidur lambat, bila saya bangun al marhum dah pun buat senaman, disebelah saya.

Pada zaman sekarang, cabaran generasi muda bukan kepalang. Mereka sentiasa dalam dilemma, tiada arah tujuan, melepak, pergaulan bebas, keseronokan, berkonsert, keliru dan buang masa. Apa nasib bangsa kita ini? Dimana nak diletakkan maruah bangsa kita?

Kitalah kena berusaha mengubahnya dan membawa mereka kepangkal jalan. Melalui pergerakkan silat, kita boleh lakukanya bagi menjaga maruah diri, bangsa dan tentunya agama

Mestilah kita tanam azam dan buat setiap hari latihan silat dan senaman sampai semulajadi serta menjadi tabiat harian. Melalui silat kita meningkatkan disiplin diri kita. Walaupun latihan sedkit tetapi hendaklah berterusan. Amat rugilah mereka yang berilmu tapi tidak beramal bermaksud segala ilmu tiada bermanfaat.

Iktibar yang kita perolehi dari latihan bersama ini adalah :-

  1. Semua ilmu yang bermanfaat kerana ia datang dari Allah
  2. Ilmu pertahan diri ini adalah perlu (wajib) untuk menjaga jasad
  3. Menajamkan ilmu mesti ada latihan yang hasilnya membuahkan kemahiran
  4. Sediakan payung sebelum hujuan
  5. Silat Cekak Hanafi diperlukan dimana-mana
  6. Al Marhum Ustaz Hanafi adalah contoh yang terbaik kerana mempunyai tahap disiplin dan kemahiran yang amat tinggi hasil usaha dan latihan berterusan sejak dari muda lagi

Sekian dan semoga bertemu lagi di edisi akan datang.

Selawat dan salam bagi junjungan kita Nabi Muhammad S,A.W . Salam maulidul rasul

Dan segala pujian adalah tertentu untuk Allah Subhanallahu Taala