Thursday, December 17, 2009

Ikribar 2

IKTIBAR 2

Assalam mu alaikum.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.
Segala puji adalah bagi Allah semata mata.
Salam sejahtera bagi Nabi Muhammad S.A.W.hamba dan pesuruhnya.

Selamat berjumpa lagi didalam ruangan ini untuk kali kedua.

Dalam diam tak diam, kita telah berada di penghujung tahun 2009.

Bulan Disember didalam kalender masihi amat bermakna kepada pergerakan silat kita. Pada tanggal 28hb. Disembar 1965 adalah hari dimana Silat Cekak telah dilahirkan semula. Pada hari itu allahyarhamYM Ustaz Hanafi pemimpin agung kita telah belajar silat ini dari En. Yahya Said atau Pak Yah. Dari detik itu bermulalah era baru bagi gerakan kita.

Pada ketika itu umur ustaz 42 tahun hendak masuk 43 tahun. Ia telah pun di panggil gelaran Ustaz, dan telah terkenal sebagai seorang yang handal.

Minat beliau terhadap silat telah berputik sejak kanak kanak lagi. Semasa remaja beliau telah mempelajari seni bela diri yang berada dikampungnya dan kampung-kampung yang berdekatan. Silat Gayung Fatani, Terlak, Sepelet dan Tomoi Siam adalah iantara silat yang telah dipelajarinya. Beliau telah mempelajari Silat Sendeng daripada gurunya Pak Ngah Sharif pada usianya 19 tahun.

Beliau dari kecil berminat dengan ilmu agama.

Pada umur 11 tahun, beliau telah mula belajar dipondok selepas mengikuti pelajaran sekolah rendah melayu selama 4 tahun. Selepas belajar di dua buah sekolah pondok beliau telah belajar agama dari beberapa orang guru agama.

Pada umur 19 tahun beliau telah belajar dan berkhidmat dengan gurunya Pak Ngah Sharif. Sejak itu beliau telah merantau pada mulanya dengan membantu gurunya, kemudian secara persendirian diseluruh pelusok Tanah Melayu kerana menjual ubat.

Hati beliau masih tidak puas dengan ilmu silat dan agama yang beliau telah pelajari, justeru iitu beliau terus mencari ilmu agama dan persilatan dengan berjumpa ramai tokoh - tokoh yang terkenal dimasa itu.

Pada masa yang sama beliau telah aktif didalam bidang politik demi memperjuangkan nasib bangsa dan kemerdekaan negara, dimana beliau pernah bertanding didalam pilihan raya umum 1959 atas tikit parti Negara.

Beliau telah berjumpa dan berguru dengan gurunya yang sangat dicintai iatu Hj. Zain bin Lebai Abdul Rahman dalam tahun 1957 yang dapat memberi kesimpulan tentang ilmu agamanya yang dicari cari selama itu.

Pada tahun 1963 beliau telah dipanggil berkhidmat selaku Pegawai Penerangan Pejabat Zakat, Negeri Kadah. Seterusnya dinaikkan pangkat menjadi Pegawai Penyelia Zakat bagi kawasan Kota Setar 1 dan kemudiannya dinaikkan pangkat kepada Penolong Setiausaha Zakat, Jajahan Padang Terap. Setelah berkhidmat satu tahun empat bulan kemudiannya beliau telah meletakan jawatan. Setelah itu, beliau bekerja sendiri dan menceburkan diri didalam perniagaan kecil kecilan..

Saja saya sorot latarbelakang Ustaz Hanafi ini untuk menunjukan bahawa sebelum mengambil silat cekak ini beliau telah menjadi seorang tokoh yang disegani masyarakat didalam pelbagai bidang. Sebenarnya beliau telah mengenal Pak Yah semasa mereka sama-sama didalam bidang menjual ubat. Beliau tahu Pak Yah adak silat yang bagus, tetapi beliau tidak mahu mengambilnya kerana peribadi Pak Yah yang bercanggah dengan prinsipnya. Pernah Ustaz mencabar Pak Yah bahawa Pak Yah tidak dapat kalahkan dia, dia boleh kencing diatas kuburnya. Tetapi cabaran ini tidak disambut kerana Ustaz memang dikenali dengan kehandalan dan kebengisannya, memang disegani oleh teman dan lawan dimasa itu.

Persetujuan Pak Yah untuk mengajar silat ini pada awal bulan disember 1965 juga berlaku apabila berlaku cabar mencabar diantara mereka berdua. Ustaz telah mencabar Pak Yah supaya jangan jadi bodoh kerana tidak dapat menyelamatkan silat ini, apabila Pak Yah mengeluh kerana tidak ada orang yang dapat belajar dengannya sehingga tamat sedangkan umurnya telah lanjut dan beliau telah menyimpan silat ini selama 40 tahun. Sebaliknya, beliau telah mencabar Ustaz supaya mengumpulkan orang dan bersama-sama belajar silat itu daripadanaya sehingga tamat. Ustaz telah menyahut cabaran itu dan akhirnya Silat cekak itu telah dapat diselamatkan dari pupus.

Namun untuk menyelamatkan hayat Silat Cekak yang baik, untuk disebarkan kepada anak bangsa Melayu bukanlah sesuatu yang mudah. Beliau telah berkorban dengan melupakan kedudukannya. Beliau telah turun untuk menjadi murid balik dan belajar dengan Pak Yah yang mempunyai keperibadian yang sangat menyulitkan. Namun beliau berjaya mempelajari dan mendalami Silat cekak hingga habis dan dapat menjadi guru. Untuk melakukan perkara itu fahaman agama yang didapatinya daripada Tn. Hj.Zain banyak membantu. Falsafah untuk makan ikan yang sedap yang sudah tentu banyak bertulang; buang tulangnya dan ambil isinya, telah dihayati oleh Ustaz sepenuhnya.

Selepas itu Ustaz telah menjadi pemimpin Silat Cekak sepenuh masa Silat Cekak telah dijadikan wadah dengan segala ilmu dan nilai yang telah didapati daripada semua gurunya yang baik telah digarap kedalamnya dan menjadikannya sebagai suatu perjuangan demi bangsa dan agamanya.. Setelah melakukan banyak perubahan dan mngharungi cabaran demi cabaran akhirnya Silat Cekak telah diterima oleh masyarakat dan dikenali ramai sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir pada 13.Ogos 1986.

Iktibar yang dapat kita ambil dari kisah yang dilalui oleh Pemimpin Agung kita ialah:

a. Pemimpin sebenar akan mencari dan menyampaikan yang terbaik untuk pengikut pengikutnya.
b. Untuk menjayakan sesuatu perkara, perlu menggunakan kebijaksanaan dan melupakan emosi.
c. Demi mendapatkan sesuatu yang berharga lupakan kedudukan kita, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.
d. Untuk mendaptkan ilmu yang berharga bukannya mudah. Ia mengambil masa yang lama dan banyak menempuhi cabaran dan dugaan.
e. Orang yang arif dapat mencari dan mengenali permata walaupun ia digelumangi oleh lumpur.

Sebenarnya banyak lagi iktibar yang dapat dipelajari daripada perjalanan hidup Ustaz Hanafi. Jika diizinkan Allah kita akan dapat menulisnya didalam ruangan ini lagi.

Secara kebetulan tarikh 28.Disember adalah juga merupakan hari kelahiran saya.

Sekian.

Selawat dan salam bagi junjungan kita Nabi Muhammad S,A.W
Dan segala pujian adalah tertentu untuk Allah Subhanallahu Taala.

Sunday, December 6, 2009

Iktibar 1

IKTIBAR 1

Assalam mu alaikum.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.

Segala puji adalah bagi Allah semata mata.

Salam sejahtera bagi Nabi Muhammad S.A.W.hamba dan pesuruhnya.

Selamat berjumpa didalam ruangan ini, yang dinamakan IKTIBAR. Sekiranya diizinkan Allah, Insya Allah ruangan ini akan menemui saudara saudari dua minggu sekali.

Sebagai keluaran sulung ingin saya mengisahkan sebuah riwayat yang berikut;

‘Pada satu kejadian terdapat seorang hamba Allah yang pergi melihat lihat dibawah rumahnya, dan ternampak olehnya sekumpulan kutu tanah. Beliau tertarik dan asyik memerhati gerak geri kutu kutu tersebut. Kutu tanah itu bertungkus lumus menyondol tahi ayam dari satu tempat kesatu tempat , ubah pergi balik tak henti henti. Itu lah kerjanya. Beliau cuba meneliti apa tujuan kutu tanah itu berbuat demikian samada tahi ayam itu makanannya atau tempat tinggalnya. Tetapi tidak jelas. Sehingga beliau menganggap bahawa kutu tanah ini tidak membuat sesuatu yang berfaedah. Terdetik dihatinya, tak guna betul kutu tanah ini, tak ada faedah langsung , kerjanya hanya menyondol tahi ayam yang ada dipersekitarannya. Kenapalah Allah mencipta makluk serupa ini?. Sia-sia sahaja ia di jadikan. Beliaupun terus meninggalkanlah kutu - kutu tersebut untuk meneruskan kehidupannya.

Selang berapa lama hamba Allah itu mengalami satu jenis penyakit yang pelik. Puaslah ia ke hulu kehilir mencari dan berjumpa tabib bagi mengubati penyakitnya, tetapi tak berjaya. Akhirnya ia berjumpa dengan seorang tabib yang yakin dapat mengubatnya. Tabib itu berkata bahawa ubat untuk penyakitnya telah disediakan tetapi kekurangan satu ramuan iaitu kutu tanah. Maka hamba Allah itu pun terus balik kerumahnya dan mengambil kutu tanah yang berada dibawah rumahnya untuk melengkapkan ramuan tersebut. Maka sembuhlahlah penyakitnya. Insaflah dia bahawa kutu tanah yang dia anggap tidak berfaedah itulah yang menjadi sebab baik penyakitnya, dan barulah ia tahkik bahawa semua kejadian dari Allah ada sebab dan hikmahnya’.

Iktibar dari cerita di atas ialah:

a. Jangan komplen perbuatan Tuhan. Segala perkara yang diciptakan oleh Allah ada guna dan hikmahnya, walaupun ia merupakan sebagai satu kejadian yang nampak menyusahkan kita. Sabar dan cuba cari hikmahnya.

b. Jangan sekali kali kita memandang hina dan jijik kepada mahlluk - mahlluk Allah, kerana kita tidak tahu apa kelebihan atau kegunaannya.

c. Semua penyakit ada ubatnya, Kalau tidak baik matilah penawarnya. Oleh itu jangan ada rasa putus asa.

Sebenarnyalah saudara saudari bahawa segalah kejadian adalah dari kehendak Allah, Ia mempunyai sebab dan mengikut sebab, oleh itu semuanya tidak sia sia. Allah itu Maha Mengetahui. Jika kita melihat didalam Qur’an, salah satu dari pendekatan oleh Allah ialah dengan menceritakan kejadian dan peristiwa, yang mana Ia mengkehendaki kita untuk mengambil Iktibar daripadanya.. Dengan cara itu Insyaalah kita akan mendapat faedah dan keselamatan dunia dan akhirat. Oleh sebab itu kita perlu belajar dari semua kejadian samada ianya ada yang diceritakan dari Al-Quran, Al-Hadith, sejarah dan dari kejadian disekeliling kita dimasa ini. Mesti ada hikmahnya.Justru ruangan Iktibar ini akan memaparkan kejadian, peristiwa dari semua sumber untuk kita mendapat hikmah darinya.

Cerita yang dikisahkan diatas telah disampaikan oleh Allahyarham Ustaz Hanafi kepada kami dimasa dahulu.

Segala puji bagi Allah dan Salam Sejahtera kepada Nabi Muhammad S.A.W.

Sekian Dahulu. Assalam mu’ alaikum.

Marwi Latiff