Tuesday, July 31, 2012

IKTIBAR 11 - AYAM TIMBANG KATI

IKTIBAR 11
AYAM  TIMBANG KATI
Assalam Mu Alaikum.
Segala Pujian Hanya Untuk Allah Sekelian Alam.
Salam Dan Selawat Untuk Junjungan kita Nabi Muhammad  S.A.W
Selamat berjumpa kembali setelah sekian lama terhenti, kerana sibuk sedikit dengan urusan harian.
Saya rasa sempena kedatangan bulan Ramadan yang penuh berkah ini, dapat disambung semula penulisan saya di ruangan ini.
Saya berharap masih tidak terlambat untuk mengucapkan Selamat Menunaikan Ibadah Puasa dalam bulan Ramadhan pada tahun ini, dan memohon kemaafan kepada semua diatas salah silap saya yang telah berlaku selama ini.
Kali ini saya ingin menyatakan sesuatu mengenai ayam, yang semua orang didalam dunia ini mengenalinya.
Pada zaman Almarhum Ustaz Hanafi dahulu, atas permintaan penuntut yang ingin meneruskan tradisi persilatan kita, telah mengadakan ayam penunjuk dimasa jamuan makan semasa majlis  ijazah tamat silat.
Menerusi tradisi tersebut, setiap penuntut yang akan tamat silat dikehendaki membawa seekor ayam jantan, dimana ianya disembelih oleh guru untuk dimasak untuk sama-sama makan dimajlis ijazah tamat.
Selalunya tertakluk kepada jumlah murid yang tamat, dua ekor dimasak sebagai ayam golek yang mana semua anggota ayam diletakkan dalam dulang, berserta dengan telor dan terung bulat. Ayam ini dinamakan ayam penunjuk, dimana penuntut yang nak tamat diminta memilih bahagian ayam  yang terdapat diatas dulang tersebut seperti kepak ayam, peha ayam, hati ayam, terong atau telor, ikut suka penuntut, dan guru terus memberi dan dimasukan dalam pinggan makan mereka.
Guru berdasarkan bahagian ayam  yang dipilih oleh penuntut, cara meminta, cara datang untuk memilih akan dapat membaca (secara psikologi) tentang jenis dan perangai muridnya, misalnya adakah murid itu boleh diharap, berjiwa masyarakat atau akan mendatangkan kerosakan. Dengan gambaran saikologi dapatlah guru mengambil langkah langkah tarbiah yang bersesuaian dengan perangai seseorang penuntut itu.
Bila jumlah murid telah bertambah ramai, satu kelas hanya dimintakan beberapa ekor ayam untuk dijadikan ayam penunjuk, tidak seperti yang lepas semua penuntut yang tamat dikenakan bawa ayam seekor seorang. Bagi kelas yang menimbulkan kepayahan, penuntut tidak dikehendaki untuk mengadakan majlis ayam penunjuk ini.
Dari apa yang dilakukan oleh Almarhum Ustaz, tradisi ayam penunjuk ini bukanlah tradisi yang wajib dalam majlis tamat, dan ia pernah dijalankan dan pernah ditiadakan.
Sekarang ini, saya,  setelah berunding dengan ahli-ahli Lembaga Pelajaran dan Tatatertib, memutuskan supaya majlis ayam penunjuk ini tidak dijalankan. Ini bukan kerana amalan tradisi tersebut bercanggah dengan ajaran agama tetapi kerana pada masa kini banyak kelas berada di IPT dan Sekolah, dengan keadaan jadual pembelajaran yang ketat akan menyukarkan penuntut untuk menguruskan majlis ayam penunjuk ini.
Bercerita berkaitan dengan ayam ini saya suka merenungkan kembali dan mengambil iktibar terhadap dua contoh yang digunakan oleh Almarhum Ustaz dahulu.
Pertama mengenai dua jenis ayam jantan. Satu jenis, ayam jantan yang berbalong cantik, berkokok panjang dan merdu kokoknya, serta badan yang nampak besar. Satu lagi jenis ayam jantan yang cirinya berlawanan dengan yang pertama, dimana balong jenis balong batu yang tak cantik, kokoknya pendek dan badanya tak nampak berisi. Apakah ciri ayam jantan yang dibicarakan diatas?
Sebenarnya ayam yang pertama adalah ayam jantan yang biasa, manakala ciri yang kedua adalah merupakan ayam sambung. Ayam jantan biasa selalunya nampak saja bergaya, suka tunjukan kegayaannya tetapi kalau berlaga cepat lari. Ayam jantan biasa , selalu suka berkokok panjang-panjang tapi tak boleh diharap untuk berlaga. Ayam jantan biasa nampak saja besar, tetapi sebenarnya tak berat, kerana lebih bulu dari isinya.
Sebaliknya yang dikatakan ayam sambung, boleh diharap untuk berlaga, hanya memiliki balong batu yang tak cantik, tidak rajin berkokok, dan tidak merdu pula tetapi jika berlaga sangat berani dan tahan lasak. Badannya nampak kecil tapi berisi, bulunya tak banyak.
Dari segi nilai,  ayam jantan biasa dinilai mengikut kati dan sesuai untuk dibuat gulai sahaja. Jadi jenisnya ialah Ayam Timbang Kati. Yang satu lagi harganya ikut keupayaan laganya dan dijual beli bukan ikut beratnya, tetapi harganya sampai beratus atau beribu ringgit saekor. Dagingnya liat tak sesuai untuk buat gulai, tapi untuk dibawa bersabung.
Oleh yang demikian kita hendaklah jadi jenis ayam sabung, bukan jadi ayam timbang kati. Kita jangan hanya pandai berkata-kata, berlagak dan melaram sahaja tetapi tidak dapat menjalankan misi dan tanggung jawab yang diberikan. Orang yang menjadi ayam tambatan atau ayam sambung, hanya bercakap apabila perlu dan bertindak dengan pantas dan tepat, sama saperti konsep Silat Cekak Hanafi itu sendiri. Orang jenis ini juga dipanggil orang yang berisi, kerana dirinya penuh dengan cahaya kepercayaan, ilmu yang berguna dan amal yang baik.
Kedua, pernah seorang penuntut yang datang berjumpa Almarhaum Ustaz untuk bertanya tentang perkara yang berkaitan dengan agama. Perkara yang dibangkitkan ialah, Allah seolah- olah tak adil kerana menghukum orang orang kafir, kerana Allah jadikan mereka, kemudiannya menyiksa mereka. Hendaknya kepada manusia yang dihulu dan dalam hutan yang mungkin tak pernah dengar fasal Islam. Untuk menjelaskan Hak Allah,  Dia Maha Tahu dan Maha Adil, Allahyarham mengemukakan contoh berikut.
Seorang yang berkecimpung didalam bidang penternakan ayam. Ia mempunyai tempat penternakan ayam yang besar. Ada ayam yang di ternak, untuk mengeluarkan telor, ada yang diternak untuk ayam daging dan ada yang diternak untuk memperolehi baka yang baik. Jenis ayam telor ia akan di ternak untuk mengumpul telor. Oleh itu selagi ia boleh bertelor ia tidak akan disembelih. Ayam daging pula, bila tempoh masanya ianya akan disembelih.
Soalannya bolehkah ayam daging itu komplen dekat penternak kenapa dia disembelih cepat sedangkan ayam telor tidak disembelih? Penternak tahulah apa kehendaknya. Ayam tak boleh komplen. Begitulah kita dengan Maha Pencipta, kita jangan komplen kerja Allah, Dia tahu apa yang dibuat dan Dia Maha Adil dan Maha Mengetahui. Tak boleh kita kritik perbuatan dan kehendakNya. Kita hanya perlu mengenalNya dan mencari hikmat dari semua kejadianNya.
Saya harap semua ahli dapat mengambil iktibar dari perkara yang di nyatakan diatas. Yang utamanya janganlah kita menjadi ayam yang komplen tentang kerja tuannya, manakala didalam kehidupan, khususnya didalam persatuan dan masyarakat kita hendaklah menjadi ayam sabung bukannya ayam kati, kerana sebenarnya manusia seharusnya mempunyai nilai yang tinggi, IANYA ADALAH SEBAIK BAIK KEJADIAN ALLAH.
Sekian. Salam dan Selawat untuk Nabi Mihammad S.A.W
Wal Hamdullillah Hirabbil Alami.