Saturday, October 24, 2009

UCAPAN YANG MULIA GURU UTAMA SENI SILAT CEKAK USTAZ HANAFI MALAYSIA SEMPENA MAJLIS PENGISYTIHARAN GURU UTAMA

Bismillahi rahmanirahim

Yang saya kasihi sahabat-sahabat saya Naib-Naib Presiden, Tuan Hj Md Nasir Bin Md Arshad, Tuan Hj Amrudin Bin Hj Buang, Yang Berusaha, Saudara Ramlee Bin Abdul Rahman, Setiausaha Agung, ahli-ahli MMT, ahli-ahli MMK, barisan pendokong Silat Cekak Hanafi, barisan penyelia-penyelia dan tenaga pengajar yang dikasihi sekalian

Assalamu alaikum w.b.t.

Pertamanya mari sama-sama kita panjatkan syukur kehadrat Allah s.w.t kerna diatas kurnianya serta dengan berkat kekasihnya junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W kita dapat berkumpul pada hari ini setelah setahun 21 hari kita terpaksa bergelut dengan situasi dalaman persatuan yang tidak keruan.

Namun Alhamdu lillah berkat kesabaran antara kita, berkat kebenaran yang kita tegakkan, berkat keyakinan kita kehadrat Allah Yang Maha Agung akhirnya perkara yang kusut dapat kita rongkaikan dengan penuh hikmah dan ketakwaan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi sekalian,

Saya berdiri di sini bersama satu tanggungjawab yang cukup besar dan amanah yang amat berat.... Bak kata orang tua-tua berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Namun saya percaya kehadiran tuan-tuan dan puan-puan sekalian menandakan sokongan kita terhadap perjuangan suci yang diasaskan oleh almarhum ustaz hanafi itu sendiri. Atas perjuangan suci ini jugalah saya bersedia dengan sepenuh hati untuk menerima tanggungjawab dan amanah ini.

Saya memohon restu dan sokongan tuan-tuan dan puan-puan untuk bersama-sama kita bangkit dari kelesuan akal dan ketaksuban budi yang membelenggu kita selama ini. Kita harus bangun dari kedaifan kita menilai diri untuk mengenal yang mana permata dan yang mana kaca. Percayalah perjuangan Ustaz Hanafi masih panjang dan jauh. Jika kita masih menongkat dagu dalam erti kata masih berfikir dan hanyut dalam kejayaan khayalan kita, orang lain telah jauh berlari mencapai kejayaan. Tinggallah kita termanggu-manggu memikirkan dimana silap dan salah kita.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian

Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih diatas kepecayaan dan keyakinan yang diberikan oleh barisan MMT dan MMK kerana melantik saya sebagai Guru Utama Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi. Sememangnya saya sendiri tidak pernah membayangkan diri saya berdiri disini sebagai Guru Utama. Ini satu tugas yang besar dan saya memerlukan sokongan dan kerjasama dari semua peringkat bagi menjayakan dan membangunkan silat ini.

Oleh yang demikian saya menyeru kepada semua pihak khasnya barisan MMT dan LPT untuk sama-sama kita turun padang dan bergerak bersama-sama membetulkan ahli-ahli yang keliru dalam perjuangan persatuan ini. Saya juga menyeru kepada barisan MMK agar terus kekal dan berusaha memartabatkan kembali maruah persatuan kita yang tercemar kerana setitik nila. Begitu juga saya menyeru kepada barisan penyelia dan tenaga pengajar sekalian janganlah kita mudah goyah dan putus asa melihat perjuangan ini pincang dek kerana kerakusan individu tertentu. Seharusnya kita melatih jiwa kita agar kental menghadapi apa jua rintangan dan halangan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Penglibatan saya didalam silat ini amat unik. Saya mengenali Ustaz Hanafi terlebih dahulu daripada mempelajari silat ini. Sepanjang tempoh tersebut saya berasa amat beruntung apabila melalui pengalaman istimewa dengan beliau. Ramai sahabat-sahabat saya pada ketika itu berubah peribadi menjadi baik disebabkan peribadi dan pembawaan Ustaz Hanafi yang jelas dalam matlamat hidupnya. Perwatakan beliau yang mudah bergaul tanpa mengira usia dan pangkat menjadikan kami pada ketika itu rasa mesra dan menyanjung tinggi sifat, pembawaan dan kepimpinan beliau. Selama 30 tahun saya melihat silat ini berkembang dan melalui detik-detik sukar dalam meneruskan perjuangan. Namun ianya bukanlah bermakna kita sudah berpuas hati mahu pun beralah dengan apa jua peristiwa yang berlaku. Selayaknya kita bangkit semula dan maju tanpa undur untuk nusa dan bangsa.

Bak kata pantun melayu

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang di kaki,
Jika berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi

Maka dengan itu saya berazam berserta semangat juang tuan-tuan dan puan-puan untuk kita menanamkan tekad membangunkan silat ini ke tahap yang di impikan oleh Yang Mulia Ustaz Hanafi Bin Hj Ahmad. Mari sama-sama kita berganding bahu, berdiri sama tinggi dan melangkah sama gagah menjulang martabat dan budaya bangsa Melayu.

Cekak hanafi warisan mutlak,
Pakaian panglima melayu jati,
Cekak tangkis tanpa mengelak,
Membina diri menjunjung budi.

Mari sama-sama kita tanamkan tekad dan padukan usaha membina dan membangunkan diri dan anak bangsa kita agar menjadi bangsa yang berdaulat dan bermaruah.

Akhir kata ingatlah pesanan Almarhum Ustaz Hanafi, katanya..

Kita silat bukan kerana silat, kita bersilat kerana agama.
Kita silat bukan kerana silat, kita bersilat kerana Allah

Moga usaha murni kita kali ini diberkati dan sentiasa dibawah naungan dan lindungan Allah tuhan sekalian alam.

Sekian wassalamu alaikum w.b.t.

No comments:

Post a Comment