Saturday, October 24, 2009

UCAPAN YANG MULIA GURU UTAMA SENI SILAT CEKAK USTAZ HANAFI MALAYSIA SEMPENA MAJLIS PENGISYTIHARAN GURU UTAMA

Bismillahi rahmanirahim

Yang saya kasihi sahabat-sahabat saya Naib-Naib Presiden, Tuan Hj Md Nasir Bin Md Arshad, Tuan Hj Amrudin Bin Hj Buang, Yang Berusaha, Saudara Ramlee Bin Abdul Rahman, Setiausaha Agung, ahli-ahli MMT, ahli-ahli MMK, barisan pendokong Silat Cekak Hanafi, barisan penyelia-penyelia dan tenaga pengajar yang dikasihi sekalian

Assalamu alaikum w.b.t.

Pertamanya mari sama-sama kita panjatkan syukur kehadrat Allah s.w.t kerna diatas kurnianya serta dengan berkat kekasihnya junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W kita dapat berkumpul pada hari ini setelah setahun 21 hari kita terpaksa bergelut dengan situasi dalaman persatuan yang tidak keruan.

Namun Alhamdu lillah berkat kesabaran antara kita, berkat kebenaran yang kita tegakkan, berkat keyakinan kita kehadrat Allah Yang Maha Agung akhirnya perkara yang kusut dapat kita rongkaikan dengan penuh hikmah dan ketakwaan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi sekalian,

Saya berdiri di sini bersama satu tanggungjawab yang cukup besar dan amanah yang amat berat.... Bak kata orang tua-tua berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Namun saya percaya kehadiran tuan-tuan dan puan-puan sekalian menandakan sokongan kita terhadap perjuangan suci yang diasaskan oleh almarhum ustaz hanafi itu sendiri. Atas perjuangan suci ini jugalah saya bersedia dengan sepenuh hati untuk menerima tanggungjawab dan amanah ini.

Saya memohon restu dan sokongan tuan-tuan dan puan-puan untuk bersama-sama kita bangkit dari kelesuan akal dan ketaksuban budi yang membelenggu kita selama ini. Kita harus bangun dari kedaifan kita menilai diri untuk mengenal yang mana permata dan yang mana kaca. Percayalah perjuangan Ustaz Hanafi masih panjang dan jauh. Jika kita masih menongkat dagu dalam erti kata masih berfikir dan hanyut dalam kejayaan khayalan kita, orang lain telah jauh berlari mencapai kejayaan. Tinggallah kita termanggu-manggu memikirkan dimana silap dan salah kita.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian

Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih diatas kepecayaan dan keyakinan yang diberikan oleh barisan MMT dan MMK kerana melantik saya sebagai Guru Utama Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi. Sememangnya saya sendiri tidak pernah membayangkan diri saya berdiri disini sebagai Guru Utama. Ini satu tugas yang besar dan saya memerlukan sokongan dan kerjasama dari semua peringkat bagi menjayakan dan membangunkan silat ini.

Oleh yang demikian saya menyeru kepada semua pihak khasnya barisan MMT dan LPT untuk sama-sama kita turun padang dan bergerak bersama-sama membetulkan ahli-ahli yang keliru dalam perjuangan persatuan ini. Saya juga menyeru kepada barisan MMK agar terus kekal dan berusaha memartabatkan kembali maruah persatuan kita yang tercemar kerana setitik nila. Begitu juga saya menyeru kepada barisan penyelia dan tenaga pengajar sekalian janganlah kita mudah goyah dan putus asa melihat perjuangan ini pincang dek kerana kerakusan individu tertentu. Seharusnya kita melatih jiwa kita agar kental menghadapi apa jua rintangan dan halangan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Penglibatan saya didalam silat ini amat unik. Saya mengenali Ustaz Hanafi terlebih dahulu daripada mempelajari silat ini. Sepanjang tempoh tersebut saya berasa amat beruntung apabila melalui pengalaman istimewa dengan beliau. Ramai sahabat-sahabat saya pada ketika itu berubah peribadi menjadi baik disebabkan peribadi dan pembawaan Ustaz Hanafi yang jelas dalam matlamat hidupnya. Perwatakan beliau yang mudah bergaul tanpa mengira usia dan pangkat menjadikan kami pada ketika itu rasa mesra dan menyanjung tinggi sifat, pembawaan dan kepimpinan beliau. Selama 30 tahun saya melihat silat ini berkembang dan melalui detik-detik sukar dalam meneruskan perjuangan. Namun ianya bukanlah bermakna kita sudah berpuas hati mahu pun beralah dengan apa jua peristiwa yang berlaku. Selayaknya kita bangkit semula dan maju tanpa undur untuk nusa dan bangsa.

Bak kata pantun melayu

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang di kaki,
Jika berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi

Maka dengan itu saya berazam berserta semangat juang tuan-tuan dan puan-puan untuk kita menanamkan tekad membangunkan silat ini ke tahap yang di impikan oleh Yang Mulia Ustaz Hanafi Bin Hj Ahmad. Mari sama-sama kita berganding bahu, berdiri sama tinggi dan melangkah sama gagah menjulang martabat dan budaya bangsa Melayu.

Cekak hanafi warisan mutlak,
Pakaian panglima melayu jati,
Cekak tangkis tanpa mengelak,
Membina diri menjunjung budi.

Mari sama-sama kita tanamkan tekad dan padukan usaha membina dan membangunkan diri dan anak bangsa kita agar menjadi bangsa yang berdaulat dan bermaruah.

Akhir kata ingatlah pesanan Almarhum Ustaz Hanafi, katanya..

Kita silat bukan kerana silat, kita bersilat kerana agama.
Kita silat bukan kerana silat, kita bersilat kerana Allah

Moga usaha murni kita kali ini diberkati dan sentiasa dibawah naungan dan lindungan Allah tuhan sekalian alam.

Sekian wassalamu alaikum w.b.t.

Thursday, September 17, 2009

Perutusan Aidilfitri 1430H oleh YM Guru Utama

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum wbrkth,

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar.

Segala puji dan syukur kepada Allah, tuhan sekalian alam di atas segala nikmat dan rahmat yang telah dianugerahkan kepada kita selaku para hambaNya. Tasbih, tahmid dan istighfar kita ucapkan bagi menyucikan segala dosa,noda dan kekurangan diri kita yang tidak pernah lekang dari kecuaian.

Sahabat-sahabat rakan seperjuangan sekalian,

Saya mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri, hari kebesaran kurnia daripada Allah SWT setelah kita menunaikan ibadat puasa dalam masa sebulan, berjihad dan bermujahadah dengan mengerjakan ibadat dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT, melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.

Ibadat yang melatih kita untuk menjadi orang-orang yang bertakwa kepada Allah Taala. Hanya orang yang bertakwa sahaja yang menjadikan al-Quran sebagai petunjuk dan Allah Taala melakukan nuzul al-Quran pada bulan Ramadan. Al-Quran menjadi petunjuk kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa.

Dengan semangat tarbiah melalui Ramadan, menjadikan diri kita orang yang beriman, yang bertakwa, yang kuat, yang sanggup menghadapi cabaran selepas Ramadan dengan mendapat pertolongan daripada Allah SWT, walaupun kita dikelilingi oleh musuh-musuh yang ramai yang tidak akan memberi kesempatan kepada Islam untuk tegak semula di bumi Allah ini.

Dalam masa yang sama, pada kesempatan ini, marilah kita menguatkan ukhuwah, persaudaraan di kalangan kita dengan ukhuwah iman dan Islam yang menyatukan umat Islam sehingga mereka tidak ada beza di antara satu sama lain. Mereka adalah satu ummah, laksana satu jasad yang bersambung di antara satu sama lain, sama-sama memikul tanggungjawab, bertolong menolong sama ada yang berkait dengan urusan agama dan dunia.

Ramadhan yang dilalui telahpun mengajar kita erti kesabaran di dalam menempuh perjuangan yang rencam. Perjuangan ini tidak terhad untuk melawan hawa nafsu semata-mata, sebaliknya ia melampaui sempadan sikap tatkala kita berhadapan dengan pelbagai keadaan

Mudah-mudahan dengan semangat ini, kita berjaya menjadi seorang Islam yang diterima oleh Allah SWT dan merealisasikan apa yang diperintahkan oleh Allah, firman-Nya yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam." (Surah Ali Imran: 102)

Sekian, terima kasih.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillah il-hamd.

Tuesday, August 11, 2009

Ucapan YM Guru Utama - Wajadiri 2009@UKM, Bangi

Ucapan Perasmian Penutup
Penaung merangkap Guru Utama
Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia
Yang Mulia En Marwi Bin Latif
Sempena Majlis Penutupan
Pertandingan Wajadiri Silat Cekak Hanafi 2009
Peringkat IPT/Sekolah Kali ke-12
Pada 26 Julai 2009
5.00 Petang
Di Dewan Gemilang UKM
Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh
dan salam sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengalu-alukan kehadiran

Yang Berhormat Dato’ Hasan Bin Malek,
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah

Yang Berbahagia Encik Ramlee bin Abd Rahman
Naib Presiden Persatuan Seni Silat Cekak Hanafi Malaysia

Yang Berusaha Saudara Abd Rahman Bin Abdullah @ Atan
Yang Diperta Silat Cekak Hanafi Peringkat UKM

Ahli – ahli
Majlis Mesyuarat Kebangsaan,
Majlis Muafakat Tertinggi
Lembaga Pelajaran dan Tatatertib Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia
Para urusetia
Peserta-peserta kejohanan,
tuan-tuan dan puan-puan sekalian.


Bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t. kerana limpah dan kurnia Nya memberi kesihatan, ketenangan dan kekuatan, selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W. bagi meneruskan usaha mengembangkan lagi ilmu Seni Silat Cekak Hanafi.
Setinggi-tinggi tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Universiti Kebangsaan Malaysia dan Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia kerana berjaya mengadakan Kejohanan Wajadiri Silat Cekak Hanafi kali ke 12 pada hari ini dengan jayanya.
Silat Cekak Hanafi telah pun mencapai usia 44 tahun pada tahun ini. Sepanjang usia ini pelbagai cabaran dan dugaan yang terpaksa dilalui bersama bagi meneruskan perjuangan dan menyebarkan ilmu persilatan kepada anak bangsa umumnya di peringkat sekolah dan IPT. Keunikan yang ada di dalam silat ini membolehkan ia menjadi pilihan para belia terutama para penuntut di IPTA dan Swasta serta para pelajar sekolah pada hari ini sehinggalah Kejohanan Wajadiri Silat Cekak Hanafi Nasional Peringkat IPT dan Sekolah 2009 yang ke 12 telah berjaya diadakan.
Hadirin Sekalian,
Saya percaya bahawa silat ini jika dikaji secara ilmiah, masyarakat akan dapat menilai kebaikan dan kelebihan silat ini serta membuktikan kualiti pelajarannya, konsep dan falsafah yang dibawa. Saya yakin mutu silat ini adalah setanding dengan segala seni bela diri sama ada didalam mahupun dari luar negara. Kaedah, buah pukulan, kuncian serta aspek pendidikan yang terdapat dalam silat ini boleh kita gunakan untuk menjaga diri, mendidik diri dan seterusnya mempertahankan bangsa, agama dan negara.
Saya menyeru kepada para penuntut IPT dan para cendekiawan untuk terus memperbanyakkan lagi penulisan ilmiah tentang seni silat ini, agar apabila tiba masanya silat ini dimartabatkan ke peringkat antarabangsa, kesemua bahan akademik dan dokumen penting tentangnya telah sedia kita miliki. Usaha-usaha Penyelidikan dan Pembangunan tentang silat ini perlu dipergiatkan lagi agar silat ini bukan sahaja menjadi salah satu tunggak ko - kurikulum di semua IPT dan sekolah negara ini malah mampu untuk menerajui pusat-pusat institusi persilatan dan kebudayaan di negara ini.
Hadirin- hadirat yang saya hormati sekalian
Silat Cekak, berdiri lurus menunggu apa sahaja serangan yang datang sebenarnya mendidik kita menjadi insan yang lebih berani dan tetap pendirian. Malah membantu kita menangkis anasir negatif dan menerima unsur positif yang dapat menambahkan nilai – nilai murni dalam membentuk sahsiah diri yang dihormati dan disegani. Berani kerana benar merupakan sifat yang perlu ada dalam setiap diri muslimin dan muslimat kerana dengan sifat ini kita masih teguh berdiri dan bersatu sehingga ke hari ini.
Adalah menjadi harapan saya, melalui persatuan ini maka lahirlah lebih ramai ahli masyarakat yang bertanggungjawab demi menjaga kesejahteraan, keamanan dan ketenteraman agama, bangsa dan negara.
Akhir kata tahniah dan syabas sekali lagi saya ucapkan kepada semua kontinjen atas kesungguhan anda semua menjayakan Kejohanan Wajadiri Silat Cekak Hanafi Peringkat IPT dan Sekolah 2009.
Sekian wabillahi taufik wal hidayah, Assalamualaikum warah matullahiwabaratuh.