Tuesday, July 31, 2012
IKTIBAR 11 - AYAM TIMBANG KATI
Friday, January 14, 2011
TEKS UCAPAN YM GURU UTAMA DI MAJLIS SAMBUTAN HARI TENAGA PENGAJAR PADA SABTU 8 JANUARI 2011 BERSAMAAN 3 SAFAR 1432 DI DEWAN MPAJ PANDAN INDAH
Bismillahirahmanirrahim
Yang dihormati Pengerusi Majlis,
Presiden Dato’Md Nasir Md Arshad dan Barisan MMK,
Ahli-Ahli Majlis Mufakat Tertinggi,
Ahli-Ahli Lembaga Pelajaran Dan Tatatertib,
Ceo Akademi Cekak Hanafi, Tn Hj Amruddin Buang,
Pengerusi Majlis Sambutan Hari Tenaga Pengajar iaitu saudara Norhaiby Mohd Shariff serta ahli jawatankuasanya,
Kesemua tenaga pengajar Cekak Hanafi serta para hadirin yang dikasihi sekalian.
Alhamdulillah dengan izin, kehendak dan pertolonganya juga, dapat kita berjumpa pada hari yang mulia ini bagi meraikan kesemua tenaga pengajar Cekak Hanafi.
Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih yang tidak terhingga kepada kesemua barisan tenaga pengajar. Kesemuanya pada hemat saya telah memberikan pelbagai khidmat, pengorbanan serta sumbangan yang ikhlas, samada nyata ataupun yang tersembunyi.
Kita berbuat demikian KERANA
1. Bukan sahaja kerana kita yakin kepada penerusan perjuangan yang diasaskan oleh Pemimpin Agong kita iaitu ALMARHUM USTAZ HANAFI HJ AHMAD, tapi
2. kita seiringkan dengan istikamah yang berterusan walapun dalam pelbagai keadaan yang mencabar, sukar dan tidak menentu.
Tuan- tuan yang dikasehi.
Asas kukuh sesuatu perjuangan itu mestilah diatas kalimah tauhid dan keikhlasan dalam perjuangan. Saya ingin melihat kita semua makin bersatu, makin bersemangat!, makin maju bergerak kehadapan mengalahkan persaingan yang ada.
Dalam perjuangan secara khususnya bila kita pergi mengajar,
1. Pertama sekali, kita kena semak niat kita setiap kali pergi mengajar. Niat kita ini mestilah kerana Allah iaitu ikhlas. Jangan niat kerana saya atau kerana Guru.
2. Kemudian mintalah izin, pertolongan dan tunjuk ajar, minta dipermudahkan, disejahterakan serta diperlindungkan dari segala sesuatu oleh Allah yang Maha Esa.
3. Berselawatlah dan
4. Amalkan serba sedikit petua keluar rumah yang telah diberikan dan pergilah mengajar. InsyaAllah, pengajaran kita kepada penuntut dan penerimaan mereka akan menjadi lebih mudah dan tidak sukar.
Tuan-tuan yang banyak berkorban,
Mengajar ini adalah satu amanah. Umumnya saya rasakan semua tahu tentang tanggungjawab masing-masing dalam menjalankan amanah tersebut. Menjadi tenaga pengajar ini memerlukan sifat benar dan amanah yang sangat tinggi.
Selain dari melaksanakan amanah, tugasan berkenaan akan mengujudkan perasaan kasih sayang kita kepada penuntut. Bila kita sayang dan kasih kepada penuntut, penuntut pun akan kasih balik kepada kita, kasih kepada persatuan, kasih kepada pergerakkan dan kasih kepada perjuangan kita.
Jika ini dapat diwujudkan maka akan ada kesinambungan perjuangaan silat kita yang berasaskan kepada mengesa Allah yang memang telah sedia Esa. InsyaAllah, Allah akan bersama kita sehingga ke akhirnya.
Tuan-tuan yang amat dihargai
Amanah yang kita pegang baik dari segi niat, masa, kehadiran dan seterusnya ini akan disoal dan dikira oleh hadrat Illahi termasuk pelbagai bayaran
1. Yang tidak dikutip,
2. Dikutip tapi tidak diserahkan atau
3. Dikutip malangnya diguna oleh diri sendiri.
Ulama dan agama menyuruh kita tulis dan rekod supaya ianya tidak menyusahkan kita di akhirat kelak. Saya berkata demikian kerana kasih kepada tuan-tuan, kerana sayang kepada tuan-tuan dunia dan akhirat, kerana hidup di dunia ini bukan kehidupan yang kekal. Mari kita baca dari pelbagai rujukan agama berkaitan hutang dan sebagainya. Antara tanda kita kasih dan sayang kepada penuntut adalah memastikan mereka membayar yuran. Jika mereka tidak bayar yuran itu telah menjadikan ia sebagai hutang. Bab hutang ini sangat berat.
Tuan-tuan yang makin dikasihi,
Tentu kita ingin melihat pergerakkan kita pulih seperti sediakala. Malah bukan sahaja pulih mudah-mudahan lebih baik dari dahulu. Perkara ini pasti boleh dicapai, InsyaAllah.
Caranya adalah jangan ada ragu-ragu lagi tentang halatuju pergerakan kita. Keadaan sekarang lebih baik dari sebelumnya. Kes persatuan di mahkamah kesemuanya telah kita menang dengan izin dan pertolongan Allah.
Ada pihak lain yang mempersoalkan tentang isu mandat. Saya ingin jelaskan kepada tuan-tuan semua bahawa; saya tidak akan menerima untuk menjadi Guru Utama sekiranya saya tidak mempunyai mandat. Perkara ini telah melalui proses yang telah dimuafakatkan bersama dan telahpun diterangkan dengan jelas oleh LPT.
Saya yakin saya mempunyai mandat!. Sekali lagi saya tekankan, tuan-tuan tidak perlu ragu-ragu lagi. Ibarat pakar bedah jantung, sekiranya dia tidak berani membuat pembedahan, tidak mungkin dia boleh menjadi pakar bedah.
Tentulah dikalangan kita setelah melalui dua krisis ini, akibatnya, secara logik, mempunyai kebimbangan dan keraguan bahawa pepecahan akan berlaku lagi.Pecah lagi atau tidak, itu kita tidak tahu!, tapi yang tahu hanyalah Allah swt.
Kita sebagai makhlukNya tidak tahu apa yang ada dihadapan kita. Apa yang patut kita buat adalah mencegah ianya berlaku sekali lagi. Ini kita buat dengan mengikut jalan yang benar bersesuaian dengan ajaran agama kita. Saya kira, kita semua telah maklum dan pasti punca-punca perpecahan tersebut berlaku. Jadi jangan diulang punca-punca ini!. Sebagai Guru Utama, InsyaAllah, saya akan membuat sebaik mungkin. Allah berserta dengan mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. Marilah kita bersama melakukanNya.
Tuan- tuan yang amat dikasihi
Episod hitam ini dalam perjuangan kita tidak boleh diselesaikan dengan sekelip mata. Ia mengambil masa. Disini kita semua perlu ada sifat benar dan sabar yang tinggi. Yakinlah kepada Allah jangan yakin kepada manusia atau mahluk.
Tuan-tuan rakan seperjuangan,
Perbezaan pendekatan yang digunakan masa saya amat berbeza dengan zaman dua mantan guru-guru utama yang lepas. Saya bersama kesemua pendukung dan ahli-ahli lama meneruskan pendekatan yang digunakan oleh Almarhum Ustaz Hanafi. Jadi kami memanjangkan atau meneruskan budaya kerja, kefahaman dan pendidikan almarhum seolah-olah tuan-tuan semua berada pada masa itu.
SEBAB ITU BEZANYA KITA DENGAN SILAT CEKAK YANG LAIN ADALAH MENERUSKAN AMANAH PERJUANGAN ALMARHUM. KITA MEMPERTAHANKAN! MEMPERJUANGKAN! PENDEKATAN DAN KEFAHAMAN DAN DIDIKAN ALMARHUM.
Masa kami berjuang sudah sampai peringkat penghujungnya, mengikut usia kami masing-masing. Justeru apa yang ingin ditinggalkan kepada generasi akan datang adalah kefahaman, pendidikan serta perjuangan yang diwariskan oleh Almarhum.
Kesemua ahli yang ada pada zaman mantan-mantan guru seharusnya matang dalam menyesuaikan diri dengan pendekatan pada masa saya ini. Saya percaya dengan masa yang singkat, budaya ini dapat diterapkan semula dengan lebih mantap. Antaranya, jangan cakap bohong, menepati masa, cakap sekali, mengesakan Allah, tidak mengambil kesempatan dengan ahli dan seterusnya.
Janganlah kita sedikitpun memandang serong kepada semua yang ingin menerapkan perkara ini.
Maklumlah, persatuan kita ini namanya pun Cekak Hanafi. Jadi sewajarnyalah diteruskan cara pendekatan, pentadbiran dan pemahaman almarhum. Begitulah sepatutnya diteruskan pada generasi akan datang, jika tidak nama persatuan tersebut perlu diubah mengikut guru utama pada masa itu.
Tuan-tuan, yang setiakawan dalam perjuangan
Bila kita dahaga, kita memerlukan air. Kekadang kita terus dapat minum sehingga hilang dahaganya, kekadang ia tumpah. Jadi, usah dikesal dan dikenang air yang dah tumpah, cari air yang baharu yang lebih baik sebagai penghilangan dahaga. Begitulah ibarat pergerakkan kita, mari kita bina semula dengan asas yang lebih baik dan lebih kukuh. Kita lihat bagaimana Acheh telah membangun dengan lebih baik setelah mala petaka tsunami. Begitulah pergerakkan kita, InsyaAllah.
Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, dan malam akan tetap bersilih ganti dengan siang mengikut ketetapanya.
Tuan-tuan yang dikasihi,
Pada tahun ini, kita telah bersama mendapat tauliah dan kad kuasa dalam rekabentuk yang baharu. Ini membuktikan kita berdaya bangkit!, berdaya maju! dan berdaya meneruskan perjuangan dan pergerakkan!.
Untuk lebih berdaya saing dan maju kehadapan, jentera pergerakkan telah lebih diperkemaskan lagi mengikut fasa-fasanya yang telah dirancang. Ayuh! mari kita maju terus kehadapan dan jangan asyik pandang yang dibelakang atau yang telah berlalu.
Tidak ada jalan yang lebih baik bagi memperkembangkan Cekak Hanafi selain dari meningkatkan mutu kita mengajar dan dari cakap atau kempen mulut ke mulut.
Sebagai penggulung bicara, saya dan bagi pihak persatuan, Akademi dan penganjur memohon maaf diatas segala kekurangan, kesalahan dan kelemahan dalam penganjuran majlis pada hari ini. Pada masa yang sama tahniah kepada semua yang terlibat dalam penganjuran majlis pada hari ini.
Marilah kita raikan bersama dengan selamat pulang dengan sejahtera bersama dengan semangat dan niat yang diperbaharui. Saya ulangi penghargaan saya yang tidak terhingga kepada tuan-tuan semua. Hanya Allah sahajalah yang boleh dan dapat membalas sumbangan, jasa dan pengorbanan tuan-tuan semua dengan lebih-lebih lagi.
Salam perjuangan dan salam kemenangan.
Sekian.
Wasalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh
Wednesday, November 3, 2010
IKTIBAR 10 - PANDIT DAN PANDAI SILAT
Tuesday, June 15, 2010
IKTIBAR 9 - PERJUANGAN MEMERLUKAN PENGORBANAN
Saturday, May 8, 2010
Iktibar 8 - Buah Kelapa dan Kepala Manusia
Thursday, April 22, 2010
IKTIBAR 7: PERBETULKAN NIAT- JANGAN TEBANG POKOK TU
Wednesday, March 31, 2010
SEMUT YANG MENGHASILKAN MADU
Friday, March 5, 2010
PANDAI SILAT DAN MARUAH
IKTIBAR 5
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.
Segala puji hanyalah bagi Allah semata mata.
Salam sejahtera bagi Nabi Muhammad S.A.W.hamba dan pesuruhnya
Seorang vice chancellor sebuah kolej swasta telah ditumbuk oleh seorang bekas pelajar semasa majlis konvokesyen pada Januari 2009. Berdarah dan ‘patah’ hidungnya. Tak sempat dia menepis kerana dia tidak pandai silat. Mungkin dia pernah belajar silat tapi berhenti berlatih atau dia tidak pernah belajar seni mempertahankan diri. Jadi boleh ditakrifkan dia sebagai tidak Pandai Silat.
Bukan perkara hidung ‘patah’ dan berdarah itu persoalan yang pokok. Perkara pokoknya adalah maruah. Dimanakah dia nak letak maruahnya? Iaitu, maruah dirinya sebagai seorang individu pendidik yang telah tercalar. Tidak tertebus maruahnya dan turut terlibat maruah kolej tersebut kesemuanya terjejas.
Begitulah juga diri kita, perlu (wajib) sentiasa bersedia menjaga diri dan maruah kita di semua tempat khususnya di rumah dan pejabat atau tempat bekerja.
Saban hari di media terpapar pelbagai peristiwa-peristiwa berkaitan mangsa pembunuhan, rompakan dan lain-lain. Baru-baru ini berita tersiar berita seorang anak memenggal kepala ayahnya sendiri. Juga cucu yang membunuh nenek dan datuk termasuk kakak dan adiknya.. Sungguh dasyat zaman sekarang ini.
Alhamdulillah, pada Jumaat 29 Januari 2010 yang lepas, saya berserta dengan sebahagian besar tenaga pengajar di lembah kelang dan ahli tamat telah bersama-sama menjalankan program Pandai Silat yang pertama.
Begitu juga saya amat menghargai kehadiran ahli dan tenaga pengajar dari luar lembah kelang seperti dari Johor antaranya.Atas permintaan ramai ia minta diadakan sebulan sekali. InsyaAllah kita akan berlatih bersama sebulan sekali. Tahniah kepada penganjur dan semua yang terlibat.
Latihan sebegini, hikmahnya adalah dari segi silaturrahim dapat mengeratkan lagi perhubungan diantara kita. Seterusnya akan menguatkan lagi pergerakan dan perjuangan kita.
Ada yang saya lihat begitu bersemangat turun setelah sekian lama tidak berlatih atau aktif. Bila berlatih bersama ini ibarat lidi-lidi yang apabila diikat kemas dan disatukan mempunyai kekuatan dan kegunaan yang lebih dari biasa.
Latihan yang dibuat hari iu dapat memastikan dibahagian mana diri kita yang sakit, Ia perlu di buat dengan mudah, dengan kadar selesa, yang tidak menyakitkan, tidak memaksa dan tidak akan mengakibatkan pengsan, tidak kira peringkat umur.
Ia memudahkan kita mengingatkan dan memahirkan semua matapelajaran silat kita. Dek kerana masa tak cukup, kita hanya sempat menghabiskan 3 mukasurat dari 21 nota mukasurat yang telah saya sediakan.
Mengimbau kembali semasa dengan al marhum Ustaz Hanafi dahulu, pernah kami sama-sama tidur lambat, bila saya bangun al marhum dah pun buat senaman, disebelah saya.
Pada zaman sekarang, cabaran generasi muda bukan kepalang. Mereka sentiasa dalam dilemma, tiada arah tujuan, melepak, pergaulan bebas, keseronokan, berkonsert, keliru dan buang masa. Apa nasib bangsa kita ini? Dimana nak diletakkan maruah bangsa kita?
Kitalah kena berusaha mengubahnya dan membawa mereka kepangkal jalan. Melalui pergerakkan silat, kita boleh lakukanya bagi menjaga maruah diri, bangsa dan tentunya agama
Mestilah kita tanam azam dan buat setiap hari latihan silat dan senaman sampai semulajadi serta menjadi tabiat harian. Melalui silat kita meningkatkan disiplin diri kita. Walaupun latihan sedkit tetapi hendaklah berterusan. Amat rugilah mereka yang berilmu tapi tidak beramal bermaksud segala ilmu tiada bermanfaat.
Iktibar yang kita perolehi dari latihan bersama ini adalah :-
- Semua ilmu yang bermanfaat kerana ia datang dari Allah
- Ilmu pertahan diri ini adalah perlu (wajib) untuk menjaga jasad
- Menajamkan ilmu mesti ada latihan yang hasilnya membuahkan kemahiran
- Sediakan payung sebelum hujuan
- Silat Cekak Hanafi diperlukan dimana-mana
- Al Marhum Ustaz Hanafi adalah contoh yang terbaik kerana mempunyai tahap disiplin dan kemahiran yang amat tinggi hasil usaha dan latihan berterusan sejak dari muda lagi
Sekian dan semoga bertemu lagi di edisi akan datang.
Selawat dan salam bagi junjungan kita Nabi Muhammad S,A.W . Salam maulidul rasul
Dan segala pujian adalah tertentu untuk Allah Subhanallahu Taala
Wednesday, January 27, 2010
Iktibar 4 - Tsunami Cekak Hanafi
Thursday, January 7, 2010
IKTIBAR 3 - GULAT
Assalam mu alaikum.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.
Segala puji adalah bagi Allah semata mata.
Salam sejahtera bagi Nabi Muhammad S.A..W.hamba dan pesuruh Nya.
Selamat berjumpa lagi didalam ruangan ini untuk kali yang ketiga
Alhamdulillah , dengan izinNya kita masih dapat menhirup udara dalam tahun baharu hijrah yang telah memasuki tahun 1431. Sebagaimana yang telah diketahui bahawa hijrah Rasullullah dari Mekah Ke Madinah merupakan detik bermulanya perkembangan pesat Islam dan mulanya pembentukan Daulah Islamiah. d Madinah , Rasulullah telah dapat mengembangkan Islam dengan lebih mudah berbanding tentangan yang amat hebat yang diterimanya semasa di Mekah.
Semasa di Mekah pelbagai cara telah dijalankan oleh Rasulullah untuk mengembangkan Islam meliputi segala lapisan masyarakat.
Diriwayatkan di Mekah terdapat seorang Ahli Gulat (gusti Arab atau senibela Arab) yang sangat terkenal dikalangan masyarakat dimasa itu yang masyhur kerana sangat kuat dan handal. Namanya Rukanah. Jarang ada orang yang berani menghalang atau menghadapi kekuatannya. Dia juga sangat berbangga dengan kekuatannya dan berani untuk mencari lawan.
Terdapat seorang lagi orang handal dan jagoan yang bernama Abu Aswad Al Jumahy. Ia masyhur saperti Rukanah serta mempunyai keistimewaan sendiri. Ia boleh berdiri diatas kulit binatang dengan teguh dan kukuh, dimana sepuluh orang menarik kulit binatang tersebut tidak dapat menjatuhkannya, sebaliknya kulit binatang itu yang pecah dan putus putus, sedangkan ia tetap tegak tidak berganjak.
Kemasyhuran orang handal ini diketahui juga oleh Rasulullah dan menjadi sasaran dakwah oleh Baginda. Jika meraka ini dapat di Islamkan sudah tentu besar pengaruhnya dikalangan masyarakat dan Baginda mencari peluang untuk menjalankan dakwah Baginda.
Tatkala sampai waktu yang sesuai Baginda bertemu dengan Rukanah yang sedang baerada di Syib, Mekah. Dalam pertemuan tersebut Baginda bertanya dan menyeru kepada Rukanah kenapa beliau masih belum bertakwa kepada Allah dan menerima agama yang disampaikan. Rukanah terus menjawab apakah tandanya yang dapat menjadi bukti atas kebenaran seruan Baginda. Nabi S.A.W terus bertanya bagaimana jika kalau Baginda dapat mengalahkan beliau dalam bergulat, adakah beliau akan beriman kepada Allah dan RasulNya. Rukanah pun menyatakan persetujuannya. Dia telah mengenakan bayaran 100 ekor kambing kepada sesiapa yang kalah.
Maka Nabi S.A.W dan Rukanah pun bersiap untuk bertempur didalam Gulat. Rukanah yang kelihatan tegap dan kuat berasa amat yakin dapat kemenangan kerana beliau memang selalu berlatih dan bergulat sedangkan Nabi S.A.W hanya berdakwah dan tidak diketahui tentang ilmu gulatnya. Baginya ajakan Nabi S.A.W sebagai suatu jenaka yang melucukan.
Tetapi tersangatlah terperanjat Rukanah kerana dalam sekelip mata ia telah dijatuhkan oleh Baginda Rasulullah.Ia begitu hairan dan tidak menjangka bahawa Nabi S.A.W dapat menewaskannya dengan mudah. Ia minta supaya pertempuran diulangi, Nabi S.A.W bersetuju, dan beliau tewas lagi. Minta diulang kali ketiga, beliau kalah lagi dan terus menyerah kalah dan menyatakan bahawa Nabi S.A.W sungguh ajaib. “Wahai Muhammad! Tiada siapun pernah dapat membaringkan aku (jtuh terlentang) dalam pertarungan selainmu!. Sebelum ini engkaulah yang paling aku benci. Tapi dsekarang aku naik saksi tiada Tuhan yang lebih benar dan berhak disembah melainkan Allah s.w.t. dan Nabi Muhammad s.a.w itu RasulNya. Nabi s.a.w. kemudianya mengembalikan semula kambing-kambing yang diserahkan sebagai pertaruhanya itu?
Rasulullah juga berjumpa dengan Abu Aswad untuk berdakwah dan beliau menyatakan kesedian untuk beradu kekuatan sekiranya itu dapat menyakinkan. Abu Aswad dengan penuh yakin akan menang dan memandang rendah terhadap Rasulullah, bersetuju untuk beradu kekuatan dengan Nabi S.A.W dan berjanji akan beriman sekiranya Nabi S..A.W dapat menjatuhkannya. Didalam pertembungan itu Nabi S.A.W telah berjaya menjatuhkan Abu Aswad yang sangat handal itu. Malang bagi Abu Aswad bukan sahaja beliau mengalami kekalahan yang memalukan ditangan Nabi S.A.W malah beliau dimalukan lagi kerana tidak menunai janji untuk beriman selepas beliau dikalahkan.
Itulah dua riwayat mengenai usaha dakwahnya Rasulullah untuk mengembangkan Syiar Islam.
Iktibar yang dapat kita menafaatkan dari riwayat diatas ialah;
1. Bahawa ilmu bela diri telah kedapatan dibumi arab dan Nabi S.A.W telah mengusai ilmu tersebut. Oleh itu kegiatan persilatan memang tidak asing dan selari dengan riwayat tersebut. Juga beliau adalah seorang manusia yang gagah perkasa
2. Bahawa ilmu bela diri dapat dijadikan alat bagi menjalankan kegiatan dakwah, ini terbukti dengan Nabi S.A.W.. telah melaksanakannya.
3. Bagi melakukan seruan yang baik; cara, masa dan tempat yang sesuai adalah perlu diambil kira.
4. Jika seseorang itu hendakan kebenaran, mereka akan mendapatinya, tetapi sekiranya mereka bukan mencari kebenaran, telah dibuktikan didepan mata pun mereka akan ingkar dan tidak menepati janji.
5. Janganlah kita riak dan memandang rendah kepada orang kerana kehandalan kita, kerana orang yang benar benar handal akan menyembunyikannya, ibarat harimau menyorokkan kuku.
Sekian. Semoga berjumpa lagi dilain keluaran.
Selawat dan salam bagi junjungan kita Nabi Muhammad S,A.W
Dan segala pujian adalah tertentu untuk Allah Subhanallahu Taala.
Thursday, December 17, 2009
Ikribar 2
Assalam mu alaikum.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.
Segala puji adalah bagi Allah semata mata.
Salam sejahtera bagi Nabi Muhammad S.A.W.hamba dan pesuruhnya.
Selamat berjumpa lagi didalam ruangan ini untuk kali kedua.
Dalam diam tak diam, kita telah berada di penghujung tahun 2009.
Bulan Disember didalam kalender masihi amat bermakna kepada pergerakan silat kita. Pada tanggal 28hb. Disembar 1965 adalah hari dimana Silat Cekak telah dilahirkan semula. Pada hari itu allahyarhamYM Ustaz Hanafi pemimpin agung kita telah belajar silat ini dari En. Yahya Said atau Pak Yah. Dari detik itu bermulalah era baru bagi gerakan kita.
Pada ketika itu umur ustaz 42 tahun hendak masuk 43 tahun. Ia telah pun di panggil gelaran Ustaz, dan telah terkenal sebagai seorang yang handal.
Minat beliau terhadap silat telah berputik sejak kanak kanak lagi. Semasa remaja beliau telah mempelajari seni bela diri yang berada dikampungnya dan kampung-kampung yang berdekatan. Silat Gayung Fatani, Terlak, Sepelet dan Tomoi Siam adalah iantara silat yang telah dipelajarinya. Beliau telah mempelajari Silat Sendeng daripada gurunya Pak Ngah Sharif pada usianya 19 tahun.
Beliau dari kecil berminat dengan ilmu agama.
Pada umur 11 tahun, beliau telah mula belajar dipondok selepas mengikuti pelajaran sekolah rendah melayu selama 4 tahun. Selepas belajar di dua buah sekolah pondok beliau telah belajar agama dari beberapa orang guru agama.
Pada umur 19 tahun beliau telah belajar dan berkhidmat dengan gurunya Pak Ngah Sharif. Sejak itu beliau telah merantau pada mulanya dengan membantu gurunya, kemudian secara persendirian diseluruh pelusok Tanah Melayu kerana menjual ubat.
Hati beliau masih tidak puas dengan ilmu silat dan agama yang beliau telah pelajari, justeru iitu beliau terus mencari ilmu agama dan persilatan dengan berjumpa ramai tokoh - tokoh yang terkenal dimasa itu.
Pada masa yang sama beliau telah aktif didalam bidang politik demi memperjuangkan nasib bangsa dan kemerdekaan negara, dimana beliau pernah bertanding didalam pilihan raya umum 1959 atas tikit parti Negara.
Beliau telah berjumpa dan berguru dengan gurunya yang sangat dicintai iatu Hj. Zain bin Lebai Abdul Rahman dalam tahun 1957 yang dapat memberi kesimpulan tentang ilmu agamanya yang dicari cari selama itu.
Pada tahun 1963 beliau telah dipanggil berkhidmat selaku Pegawai Penerangan Pejabat Zakat, Negeri Kadah. Seterusnya dinaikkan pangkat menjadi Pegawai Penyelia Zakat bagi kawasan Kota Setar 1 dan kemudiannya dinaikkan pangkat kepada Penolong Setiausaha Zakat, Jajahan Padang Terap. Setelah berkhidmat satu tahun empat bulan kemudiannya beliau telah meletakan jawatan. Setelah itu, beliau bekerja sendiri dan menceburkan diri didalam perniagaan kecil kecilan..
Saja saya sorot latarbelakang Ustaz Hanafi ini untuk menunjukan bahawa sebelum mengambil silat cekak ini beliau telah menjadi seorang tokoh yang disegani masyarakat didalam pelbagai bidang. Sebenarnya beliau telah mengenal Pak Yah semasa mereka sama-sama didalam bidang menjual ubat. Beliau tahu Pak Yah adak silat yang bagus, tetapi beliau tidak mahu mengambilnya kerana peribadi Pak Yah yang bercanggah dengan prinsipnya. Pernah Ustaz mencabar Pak Yah bahawa Pak Yah tidak dapat kalahkan dia, dia boleh kencing diatas kuburnya. Tetapi cabaran ini tidak disambut kerana Ustaz memang dikenali dengan kehandalan dan kebengisannya, memang disegani oleh teman dan lawan dimasa itu.
Persetujuan Pak Yah untuk mengajar silat ini pada awal bulan disember 1965 juga berlaku apabila berlaku cabar mencabar diantara mereka berdua. Ustaz telah mencabar Pak Yah supaya jangan jadi bodoh kerana tidak dapat menyelamatkan silat ini, apabila Pak Yah mengeluh kerana tidak ada orang yang dapat belajar dengannya sehingga tamat sedangkan umurnya telah lanjut dan beliau telah menyimpan silat ini selama 40 tahun. Sebaliknya, beliau telah mencabar Ustaz supaya mengumpulkan orang dan bersama-sama belajar silat itu daripadanaya sehingga tamat. Ustaz telah menyahut cabaran itu dan akhirnya Silat cekak itu telah dapat diselamatkan dari pupus.
Namun untuk menyelamatkan hayat Silat Cekak yang baik, untuk disebarkan kepada anak bangsa Melayu bukanlah sesuatu yang mudah. Beliau telah berkorban dengan melupakan kedudukannya. Beliau telah turun untuk menjadi murid balik dan belajar dengan Pak Yah yang mempunyai keperibadian yang sangat menyulitkan. Namun beliau berjaya mempelajari dan mendalami Silat cekak hingga habis dan dapat menjadi guru. Untuk melakukan perkara itu fahaman agama yang didapatinya daripada Tn. Hj.Zain banyak membantu. Falsafah untuk makan ikan yang sedap yang sudah tentu banyak bertulang; buang tulangnya dan ambil isinya, telah dihayati oleh Ustaz sepenuhnya.
Selepas itu Ustaz telah menjadi pemimpin Silat Cekak sepenuh masa Silat Cekak telah dijadikan wadah dengan segala ilmu dan nilai yang telah didapati daripada semua gurunya yang baik telah digarap kedalamnya dan menjadikannya sebagai suatu perjuangan demi bangsa dan agamanya.. Setelah melakukan banyak perubahan dan mngharungi cabaran demi cabaran akhirnya Silat Cekak telah diterima oleh masyarakat dan dikenali ramai sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir pada 13.Ogos 1986.
Iktibar yang dapat kita ambil dari kisah yang dilalui oleh Pemimpin Agung kita ialah:
a. Pemimpin sebenar akan mencari dan menyampaikan yang terbaik untuk pengikut pengikutnya.
b. Untuk menjayakan sesuatu perkara, perlu menggunakan kebijaksanaan dan melupakan emosi.
c. Demi mendapatkan sesuatu yang berharga lupakan kedudukan kita, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.
d. Untuk mendaptkan ilmu yang berharga bukannya mudah. Ia mengambil masa yang lama dan banyak menempuhi cabaran dan dugaan.
e. Orang yang arif dapat mencari dan mengenali permata walaupun ia digelumangi oleh lumpur.
Sebenarnya banyak lagi iktibar yang dapat dipelajari daripada perjalanan hidup Ustaz Hanafi. Jika diizinkan Allah kita akan dapat menulisnya didalam ruangan ini lagi.
Secara kebetulan tarikh 28.Disember adalah juga merupakan hari kelahiran saya.
Sekian.
Selawat dan salam bagi junjungan kita Nabi Muhammad S,A.W
Dan segala pujian adalah tertentu untuk Allah Subhanallahu Taala.