Thursday, April 22, 2010

IKTIBAR 7: PERBETULKAN NIAT- JANGAN TEBANG POKOK TU

Ada sebuah pokok. Bila orang lalu-lalang disana perlu meminta izin dahulu. Maka iblis pun mengambil kesempatan dengan perbuatan orang- orang tersebut. Jadilah adat, bila sesiapa hendak lalu dipokok tu kena minta izin dulu atau bagi salam, sehingga sekumpulan manusia menyembah pokok tersebut.
Seorang yang sentiasa beribadat (‘Abid) yang miskin, yang fahaman tauhidnya tinggi telah berniat dan berazam untuk menebang pokok tersebut sebab perbuatan tersebut telah menjadi syirik yang jelas.
Masa dia hendak pergi menebang pokok tersebut ialah telah dihalang oleh iblis tadi yang menyamar sebagai orang tua.
Iblis bertanya : “Apakah pentingnya sehingga tuan meninggalkan ibadat tuan untuk menebang pokok ini?”.
Jawab si ‘Abid : “Ia sebahgian daripada ibadatku”.

Iblis tidak membenarkan dia menebang pokok itu. Maka berlakulah pergelutan. Si ‘Abid tadi dengan mudah menewaskan iblis dan duduk diatas dada iblis. Iblis merayu minta dilepaskan berserta tipudaya. Berlaku pergelutan lagi, masih ‘Abid dapat menewaskan Iblis.

Tipudaya iblis berterusan. Iblis menawarkan dia duit dua dinar setiap malam diletakkan dikepalanya. “Duit itu boleh digunakan untuk belanja diri, keluarga, atau bersedekah, tidak menyakiti penyembah-penyembah pokok dan tak ada faedah keuntungan kepada orang-orang Islam jika pokok itu ditebang,” kata Iblis pada ‘Abid.
Iblis tersebut takut jika pokok itu ditebang. Pujuk rayu dan tipudaya Iblis yang bijak telah berjaya membisikkan dan memesongkan dia bahawa setiap kali dia akan dapat duit dua dinar dibawah kepalanya.
‘Abid percaya kata-kata orang tua itu dan membatalkan niat asalnya dan pulang kerumah setelah membuat perjanjian dengan orang tua iblis itu tadi. Esoknya dia dapati betul ada duit dikepalanya begitu juga pada hari kedua berikutnya. Tapi pada hari ketiga duit tidak ada!.
‘Abid marah, bingkas berang dan terus pergi menebang pokok itu. Dia bergelut lagi dengan iblis tersebut tapi kalah. Iblis tadi tidak takut langsung dan tidak halang perbuatan Abid tersebut. Iblis pun berkata:” Kali pertama aku kalah sebab engkau marah kerana Allah. Tapi kali ni aku tidak takut dan menang sebab kau marah pasal duit dua dinar”.
Cerita masyur sejak zaman dahulu ini selalu di sampaikan oleh alim ulama, adalah contoh yang baik untuk pergerakkan kita. Ia diolah dari kitab Min Sifat al-Sabbagh oleh Ustaz Muhammad al-Sabbagh, halaman 45, yang juga dipetiknya daripada “Ihya”.

Iktibar yang kita perolehi dari latihan bersama ini adalah :-
1 Sesekali jangan syirik.
2 Syirik boleh berlaku walaupun kepada abid.
3 Betulkan niat, tujuan mesti ikhlas kerana Allah taala suci dari ‘kongsi’ atau menduakan Allah.
4 Ikhlas adalah syarat kepada kemenangan.
5 Perjuangan silat kita berasaskan tauhid serta menentang ilmu tahyul dan khurafat.
6 Kekuatan tauhid boleh mengatasi iblis dan syaitan.
7 Tipu daya syaitan memang hebat tapi akan kalah jika ada ikhlas.
8 Iblis, mahluk yang bijak dari manusia sentiasa berusaha sesatkan manusia dan musuh yang nyata.
9 Musyrikun akan akhirnya tewas.
10 Jangan bergantung rezeki pada cara yang bukan Hak.
11 Jangan korbankan keikhlasan dgn benda2 lain, duit sebagai contoh.
12 Selalu perbetulkan niat kita dalam pergerakkan dan jangan buat pasal orang.
Pesan Al Marhum Ustaz Hanafi dalam ceramah setelah kembali dari menunaikan fardhu haji pada 1984, beliau berkata : “Sikit amalan pun tak apa tapi jangan syirik”. Silat yang kita pelajari ni adalah berdasarkan tauhid dan keikhlasan serta bebas dari ilmu tahyul dan khurafat serta perkara-perkara syirik. Masih terngiang-giang dipendengaran saya cara dan suara almarhum berceramah. Pernah dia berpesan “Jangan buat silat pasal saya.”
Semangat tauhid yang tulin dikuti dengan mengamalkan (praktik) apa yang dicakapnya membuatkan almarhum berada dalam tarafnya yang tersendiri.
Kita pula mewarisi dan meneruskan perjuangan tersebut dengan penuh ikhlas, amanah lagi bertanggungjawab.
Apa saja amalan yang dibuat tak kira sikit atau banyak tak patutlah ada syirik didalamnya. Begitu juga silat dan pergerakkan kita ini.
Maka disinilah asas wadah kepada perjuangan kita seperti menetang ilmu tahyul dan khurafat dan memartabatkan silat Melayu
Orang Melayu sedang diasak dengan berbagai asakan dari semua arah. Dari itu silat ini berusaha mengembalikan ketulinan orang Melayu. Sebagai contoh, silat kita ini adalah silat Melayu yang asli dan tidak bercampur hak luar negeri. Orang muda Melayu kini makin terhakis tauhid dan budayanya.
Perkara ini berlaku kerana lemahnya benteng kebudyaan Melayu itu sendiri berasakan tauhid.
Kita mungkin tidak berkemampuan untuk menghadapi cabaran ini. Tapi kita mesti terus berusaha mempertahankan perjuangan ini.
Sekian dan semoga bertemu lagi di edisi iktibar akan datang.
Selawat dan salam bagi junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W.
Dan segala pujian adalah tertentu untuk Allah Subhanallahu Taala